Setahun tiada pelanggan, pengayuh beca hidup derita

Manan merenung nasibnya sambil duduk di becanya di Canon Square ekoran punca pendapat merosot berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini. - Foto Bernama
Manan merenung nasibnya sambil duduk di becanya di Canon Square ekoran punca pendapat merosot berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Perkhidmatan beca ikonik Pulau Pinang telah 'berehat' hampir setahun dengan rata-rata penarik beca bergantung kepada makanan yang diagihkan dan mengambil upah melakukan kerja-kerja kasar demi mencari nafkah kehidupan.

Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lepas dan kemudian penutupan sempadan antarabangsa turut menghentikan kedatangan pelancong antarabangsa.

Bahkan aktiviti pelancongan domestik mengalami sedikit penurunan susulan perjalanan rentas negeri dilarang untuk sebahagian besar negeri-negeri pada tahun ini.

Lawatan ke tempat hentian beca yang popular berhampiran Hotel Cititel di Jalan Penang di sini mendapati deretan beca dibiarkan kosong sementara penarik becanya merayau di bawah naungan bangunan berhampiran sambil menunggu sampainya agihan makanan daripada agensi kerajaan, badan amal dan individu yang dermawan.

Seorang penarik beca, Tan Kang Ho, 71, memberitahu Bernama bahawa tidak ada permintaan untuk perkhidmatan yang mereka sediakan sejak PKP pertama seluruh negara yang berkuat kuasa 18 Mac tahun lepas.

Kang Ho yang menarik beca sejak 30 tahun yang lepas berkata, sebelum pandemik Covid-19 beliau selalunya meraih pendapatan kira-kira RM50 sehari dengan membawa pelancong tempatan. Dan beliau akan menganggap dirinya bernasib baik sekiranya dapat membawa beberapa pelancong asing dengan becanya kerana membolehkan beliau mendapat tambahan beberapa ratus ringgit lagi.

Beberapa pengayuh beca berehat di kaki lima di Jalan Penang sambil menunggu pelanggan. - Foto Bernama
Beberapa pengayuh beca berehat di kaki lima di Jalan Penang sambil menunggu pelanggan. - Foto Bernama

“Tetapi kini kami hanya menunggu di sisi beca sendiri menantikan orang ramai mengedarkan bungkusan makanan kepada kami untuk melalui hari ini. Sejak setahun ini, hanya kami, penarik beca yang menunggu di sisi beca kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kang Ho berkata, becanya dahulu adalah sebahagian daripada 'armada' beca yang dipimpin oleh seorang pengayuh beca, yang dikenali sebagai Ah Aw, yang akan memberitahu mereka jika ada kumpulan pelancong antarabangsa atau kapal pesiar tiba di Pulau Pinang.

Menurut Kang Ho, Ah Aw adalah satu-satunya penarik beca yang mempunyai telefon bimbit dan akan dihubungi sekiranya terdapat sesiapa yang memerlukan khidmat beca.

“Susulan PKP, beliau tidak lagi menerima sebarang panggilan telefon untuk perkhidmatan kami,” tambah beliau.

Seorang lagi penarik beca Ang Chee Guan, 63, berkata, sesetengah penarik beca telah mencari kerja sebagai pengawal keselamatan atau melakukan kerja-kerja kasar untuk mendapatkan pendapatan dan hanya akan membawa beca jika perkhidmatan mereka diperlukan.

Bagi Kang Ho dan Chee Guan, beca mereka bukanlah sekadar untuk mendapatkan sumber pendapatan malahan ia juga sebagai rumah mereka.

“Saya tidak punya keluarga sendiri, saya tidak mempunyai rumah... saya jadikan beca sebagai tempat tidur sejak lima tahun lepas,” kata Chee Guan.

Beliau berkata, becanya itu sebenarnya disewa dengan harga RM60 sebulan.

“Dengan keadaan sekarang ini, 'tuan' saya cukup bertimbang rasa hingga tidak mengutip sewanya,” tambahnya lagi.

Seorang pengayuh beca berehat di kaki lima di Jalan Penang sambil menunggu pelanggan. - Foto Bernama
Seorang pengayuh beca berehat di kaki lima di Jalan Penang sambil menunggu pelanggan. - Foto Bernama

Di sebuah lagi hentian beca yang terletak dalam zon warisan Pulau Pinang, suasananya juga suram - dengan deretan beca dapat dilihat dalam keadaan santai di sisi penarik beca, yang berharap keadaan baik akan kembali semula.

Penarik beca Manan Talib, 56, berkata, beliau biasa membawa sejumlah pelancong termasuk pelancong domestik dari Kedah, Johor dan Kuala Lumpur, yang ingin pergi melawat tempat bersejarah.

Kini beliau hanya berharap agar sekatan rentas negeri ditamatkan segera agar beliau dapat menjana pendapatan.

Penarik beca terutama di hentian ini mendapat makanan percuma setiap hari, terima kasih kepada seorang pemilik restoran yang pemurah, yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Sim.

Menyedari nasib para penarik beca berkenaan, Sim, 48, bermurah hati menyediakan makanan masakan dari rumahnya setiap hari kepada mereka.

“Apa yang terbaik boleh saya lakukan untuk mereka adalah menyediakan mereka satu makanan sehari yang sempurna dengan harapan beca ikonik kita tidak akan lenyap dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kumpulan lain seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut mengedarkan makanan kepada penarik beca. - Bernama