X

Kindly register in order to view this article
!

Kedai terbakar: Pengusaha terpaksa batal tempahan gulai ikan sembilang

Keadaan kedai makan gulai sembilang yang diusahakan Mohd Shahril musnah dalam kebakaran pada Selasa.
A
A

PARIT BUNTAR - "Seluruh kedai sudah musnah terbakar, kami terpaksa batalkan semua tempahan daripada mereka yang mahu menikmati gulai sembilang pada hujung minggu ini dan minggu hadapan," kata Mohd Shahril Ghazali, 41.

Mohd Shahril yang mengusahakan kedai makan Gulai Sembilang sejak lebih belasan tahun lalu, buntu memikirkan nasib mereka apabila satu-satunya premis yang dijadikan mata pencarian musnah dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau pada Selasa.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kebakaran berlaku, pihaknya menerima banyak tempahan daripada penggemar gulai ikan sembilang termasuk dari luar daerah.

"Hari biasa dan hujung minggu memang kedai ini jadi tumpuan mereka yang menyukai menu gulai sembilang, kadang tak menang tangan sebab itu tempahan awal diterima.

"Dengan insiden yang berlaku ini, terpaksalah kami batalkan semua tempahan itu. Buat sementara waktu ini, kami memang tidak boleh beroperasi, segala perkakas memasak musnah," katanya.

Mengakui kejadian itu memberi tamparan hebat kepada keluarganya, beliau mengharapkan bantuan kerajaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mendapatkan sebuah premis perniagaan baharu bagi membolehkan mereka berniaga.

"Kebetulan semalam (Selasa) kami memang tidak beroperasi, tetapi saya ada di kedai, bila nampak asap berkepul-kepul keluar dari premis, saya segera menjerit memaklumkan pengusaha premis lain.

"Tindakan awal kami untuk memadamkan kebakaran gagal kerana api marak begitu cepat dengan keadaan cuaca panas dan berangin," katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan lima deretan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Simpang 3 di Kuala Kurau.

Kejadian sekitar jam 2 petang itu membabitkan kedai runcit, rumah kedai dan sebuah kedai makan ikan sembilang yang popular di kawasan berkenaan.

Seorang lagi mangsa, Kamaruzaman Mohamad Arshad, 56, berkata, kebakaran itu memusnahkan rumah kedai dua tingkat yang didiami sejak 2014 lalu.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan.

"Saya dan isteri kebetulan ada di luar, kemusnahan hanya melibatkan kelengkapan rumah dan peralatan berniaga, tiada satu pun dapat diselamatkan, kerugian dianggarkan RM150,000," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Parit Buntar, Md Nayan Salleh berkata, pihaknya akan mengambil tindakan untuk membantu mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.

Katanya, walaupun kebanyakannya pengusaha beroperasi sebagai penyewa, kerugian tetap dialami yang melibatkan kemusnahan harta benda.

"Dalam perkara ini, kita berharap pemilik tanah dapat bertimbang rasa dengan membenarkan mereka ini membangunkan semula struktur bangunan yang telah musnah supaya dapat meneruskan kembali perniagaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!