Maqis rampas buah, sayur bernilai lebih RM80,000

Dua pegawai Maqis bersama buah dan sayuran dari Vietnam yang dirampas pada Ahad.
Dua pegawai Maqis bersama buah dan sayuran dari Vietnam yang dirampas pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pahang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 22,170 kilogram (kg) sayur-sayuran dan buah-buahan dari Vietnam melalui pintu masuk Pelabuhan Kuantan di sini pada Ahad.

Pengarah Maqis Negeri Pahang dan Terengganu, Mohamad Nazrul Hizam Abdul Manaf berkata, hasil pemeriksaan rutin dilakukan pihaknya kira-kira jam 3 petang itu menemui limau nipis, kubis bulat, ubi keledek, lobak merah dan ubi bit dalam sebuah kontena yang dianggarkan bernilai lebih RM80,000.

Menurutnya, sayur-sayuran dan buah-buahan tersebut dirampas kerana dipercayai dibawa masuk tanpa permit import yang sah dan tidak mematuhi syarat permit 3P.

"Barang dagangan limau nipis yang dirampas disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), manakala barang dagangan yang lain akan disiasat di bawah seksyen 15 (1) kerana tidak mematuhi syarat import sepertimana yang dinyatakan dalam permit Maqis," katanya melalui satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohamad Nazrul Hizam berkata, jika sabit kesalahan pihak terlibat boleh dihukum di bawah seksyen 11(3) dan Seksyen 15(2), akta yang sama.

Katanya, Pihak Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan di pintu negeri ini masuk bagi memastikan sebarang kemasukan keluaran pertanian sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin biosekuriti negara.

Artikel Berkaitan: