X

Kindly register in order to view this article
!

Pengeluaran wang Yayasan Akalbudi RM17.9 juta kesalahan pecah amanah: Saksi

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu bahawa pengeluaran wang RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu kesalahan pecah amanah kerana tidak mendapat persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Fazli Zulkifli, 36, berkata, pengeluaran wang tersebut daripada akaun Affin Bank milik Yayasan Akalbudi kepada akaun Maybank Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah yayasan itu adalah atas arahan Ahmad Zahid.

"Hasil siasatan, pengeluaran wang itu adalah satu pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi yang dikeluarkan tanpa mendapat persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain dan dipindahkan ke akaun klien Lewis & Co," katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Saksi pendakwaan ke-93 itu berkata demikian pada hari ke-48 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Pada Jumaat lalu, Muhammad Fazli memberitahu mahkamah bahawa terdapat penglibatan Ahmad Zahid dalam pengeluaran wang Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta yang digunakan untuk pembelian sijil simpanan tetap RM9.3 juta manakala RM8.6 juta untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd.

Ahmad Sazilee: Berdasarkan siasatan Encik Fazli berkenaan Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang wang RM17.9 juta, siapa yang memberi arahan kepada Lewis & Co berkenaan wang tersebut.

Muhammad Fazli: Segala arahan yang Lewis & Co terima adalah daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Lewis & Co tidak akan bertindak tanpa arahan.

Ahmad Sazilee: Boleh kamu sahkan kepada mahkamah, pernah tak mana-mana Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang lain memberi apa-apa arahan kepada Lewis & Co, secara spesifiknya kepada B. Muralidharan (rakan kongsi Lewis & Co).

Muhammad Fazli: Saya sahkan tiada.

Mengenai percakapan beramaran oleh Ahmad Zahid kepada SPRM semasa siasatan kes itu berhubung pelaburan dalam syarikat Ri-Yaz Assets, Muhammad Fazli berkata percakapan itu bercanggah dengan keterangan saksi-saksi lain.

"Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid, dia kata Yayasan Akalbudi yang berminat buat pelaburan (dalam syarikat Ri-Yaz Assets) dalam bidang perhotelan, tetapi keterangan daripada saksi-saksi lain memberitahu bahawa Datuk Nurulhidayah (anak Ahmad Zahid) yang berminat buat pelaburan dan bayaran dibuat oleh Yayasan Akalbudi," kata Muhammad Fazli.

Ahmad Sazilee: Bagaimana pula dengan keterangan Tan Sri Rashid Manaf (pemegang saham syarikat Ri-Yaz Assets).

Muhammad Fazli: Mengikut keterangan Tan Sri Rashid, Datuk Nurulhidayah menyatakan minat untuk melabur dengan Ri-Yaz Assets.

Ditanya Ahmad Sazilee, adakah terdapat dokumen mengenai pelaburan tersebut, Muhammad Fazli menjawab, "Tiada, ia melibatkan dua pihak sahaja, Nurulhidayah dan Tan Sri Rashid. Sepanjang siasatan saya juga tidak menjumpai apa-apa dokumen yang mengatakan Nurulhidayah menjadi pemantau atau proksi dalam Ri-Yaz Assets".

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!