Pecah amanah RM24.8 juta, penolong akaun ditahan

Muhamad Zaki - Foto Bernama
Muhamad Zaki - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penolong akaun sebuah agensi kerajaan ditahan untuk siasatan kes pecah amanah melibatkan nilai RM24.8 juta pada Sabtu.

Suspek yang berusia 37 tahun ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di rumahnya di Bandar Gua Musang pada jam 12.21 tengah malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung salah laku yang dibuat oleh lelaki terbabit sekitar jam 6 petang pada Jumaat.

"Kesalahan itu melibatkan kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari tempoh Disember 2016 hingga Mei 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan itu sejak tahun 2016 hingga Mei 2023 dengan membuat pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik Kesedar ke akaun syarikat miliknya.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati jumlah keseluruhan transaksi yang dibuat oleh suspek sebanyak RM24.8 juta.

Muhamad Zaki memberitahu, ia melibatkan 194 transaksi dan suspek direman selama tujuh hari bermula pada Sabtu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan," katanya.