Pelatih polis sembuh, selesai kuarantin dibenar jalani latihan

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelatih polis yang telah sembuh Covid-19 dan selesai menjalani kuarantin dibenar memulakan latihan seperti biasa di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara mulai Isnin, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din.

Beliau berkata, beberapa Pulapol juga telah kembali beroperasi seperti biasa selepas 99 pelatih kadet Inspektor yang dijangkiti wabak dan dikuarantin di Pulapol Kuala Lumpur, telah sembuh.

“Baki 17 pelatih kadet Inspektor masih menjalani perintah kuarantin serta menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan.

“Sebelum ini, seramai 116 pelatih didapati positif Covid-19 dan jumlah itu semakin berkurangan selepas ramai yang sembuh namun kami masih memantau keadaan mereka buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hingga 4 Mac, masih terdapat tiga pelatih kadet Inspektor yang positif Covid-19 dan menjalani rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, aktiviti latihan di Pulapol di seluruh negara yang sebelum ini dihentikan susulan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pelatih, kini kembali beroperasi dengan 406 pelatih kadet Inspektor mula menjalani latihan dan kelas pada 22 Feb.

Sebelum ini, Bernama melaporkan segala aktiviti latihan di Pulapol di seluruh negara dihentikan buat sementara waktu berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelatih polis. - Bernama

Artikel Berkaitan: