X

Kindly register in order to view this article
!

PKPP: Melaka kekalkan lima SJR

SJR Plaza Tol Ayer Keroh antara SJR yang masih dikekalkan dalam tempoh PKPP di Melaka.
A
A

MELAKA - Polis negeri ini mengekalkan lima sekatan jalan raya (SJR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 2.0 bermula Jumaat.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nikmat berkata, kesemua SJR itu membabitkan kawasan sempadan negeri bagi mengelakkan sebarang cubaan rentas negeri.

Menurutnya, penugasan di SJR sepanjang tempoh PKPP ini membabitkan seramai 140 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Antara lokasi SJR yang dikekalkan ialah Plaza Tol Ayer Keroh, Plaza Tol Simpang Ampat, Plaza Tol Lipat Kajang, Jasin, Jalan Kuala Linggi dan Sungai Rambai, Jasin.

"Malah 'SJR Mobile' juga diteruskan secara berkala bagi mengekang sebarang cubaan rentas negeri terutama 'jalan tikus' yang boleh memasuki negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKPP khususnya ketika berada di tempat sesak seperti kedai makan, pasar raya dan lokasi tumpuan pelancong.

Dalam perkembangan lain, Nik Ab Halim berkata, sebanyak 108,414 permohonan rentas daerah dan negeri telah diterima pihaknya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu hingga Rabu lalu.

"Daripada jumlah itu, 107,928 permohonan telah diluluskan, manakala baki 486 lagi ditolak disebabkan alasan yang tidak munasabah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!