Bekas Ketua Polis Balai berdepan tiga pertuduhan rasuah

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mejar dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Seremban hari ini, atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rasuah lima tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Qayum Vekapady Abdullah, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu merupakan Ketua Balai Polis Tanah Merah, Port Dickson telah secara rasuah memperoleh wang suapan RM500 daripada M Manialagan sebagai dorongan tidak melakukan perbuatan yang berhubung dengan hal ehwal prinsipnya iaitu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang dan memberi perlindungan kepada lori digunakan lelaki terbabit melalui kawasan pentadbiran Balai Polis Tanah Merah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah meminta suapan telefon bimbit daripada Manialagan bagi tujuan sama.

Perbuatan itu dilakukan pada 5 Mac 2014, jam lebih kurang 1.40 petang sehingga 2.10 petang di Lot 7271 Pekan Tanah Merah Utara, Kampung Baru Site C, Port Dickson.

Pertuduhan ketiga tertuduh telah memperoleh RM1,000 dari individu sama yang dikatakan untuk membeli telefon bimbit Iphone5 pada 6 Mac 2014 di Restoran Old White Coffee, jam 3.40 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16 (a) (B) ASPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi dan Pegawai Pendakwa SPRM Karmila Mokhtar mencadangkan jaminan RM21,000 bagi kesemua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Rajinder Singh merayu supaya anak guamnya diberi jaminan rendah kerana masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selain sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang tempoh lima tahun siasatan dilakukan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan 19 Mac depan untuk serahan dokumen.