Pemandu treler langgar perancah besi positif dadah

Dalam kejadian pada jam 6 petang pada Rabu, runtuhan perancah besi itu menghempap sebuah van kilang yang melalui lokasi tersebut. - Foto Bernama
Dalam kejadian pada jam 6 petang pada Rabu, runtuhan perancah besi itu menghempap sebuah van kilang yang melalui lokasi tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu treler yang melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini pada, Rabu, didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ujian saringan awal urin terhadap pemandu berusia 40 tahun itu dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Pemandu itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zulkefly berkata, dalam kejadian pada jam 6 petang pada Rabu, runtuhan perancah besi itu menghempap sebuah van kilang yang melalui lokasi tersebut.

"Dua daripada empat wanita pekerja kilang meninggal dunia dikenali sebagai, Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah, 42," katanya.

Menurutnya, dua lagi rakan mereka serta pemandu van itu dilaporkan terselamat tetapi mengalami kecederaan.

"Pemandu van kilang, Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, mengalami patah tulang bahu sebelah kiri, bengkak pada paru-paru dan berlaku pendarahan dalaman.

"Dua lagi penumpang van Zaitun Zainal, 54, cedera kaki sebelah kiri, manakala Zakiyyah Yakop, 51, cedera betis kiri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lori lebih muatan langgar perancah besi pembinaan

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila treler itu melalui Lebuhraya MRR2.

"Sebaik tiba di lokasi, treler berkenaan melanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki dan menyebabkan rusuk keluli bersama perancah besi terjatuh di kedua-dua laluan MRR2 sebelum menghempap van kilang yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS).

"Semasa kejadian van itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di USJ 1, Subang Jaya," katanya.

Zulkefly memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.