Dua pemandu treler maut nahas tiga kenderaan

Nahas tiga kenderaan di Kilometer 317.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah pada Rabu mengorbankan dua pemandu treler akibat tersepit. - Foto JBPM Perak
Nahas tiga kenderaan di Kilometer 317.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah pada Rabu mengorbankan dua pemandu treler akibat tersepit. - Foto JBPM Perak
A
A
A

TAPAH - Dua pemandu treler maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 317.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada Rabu.

Mangsa yang maut dikenali Jantan Arshad, 67, memandu treler muatan tembikai dan Nur Ikhwan Azami, 31, membawa muatan simen.

Kejadian sekitar jam 5 petang itu turut mengakibatkan semua laluan terhalang dan aliran trafik terhenti hampir lima kilometer.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kedua-dua pemandu berkenaan mengalami cedera parah akibat tersepit.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah diatur gerak ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, sebuah lagi kenderaan terlibat merupakan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Bagaimanapun katanya, pemandu wanita berusia 46 tahun itu hanya mengalami cedera.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

"Operasi selesai pada jam 7.30 malam," katanya.

Sementara itu, Plus Trafik menerusi ciapan di Twitter pada jam 7.38 petang memaklumkan, kerja-kerja pengalihan kenderaan sedang dijalankan.

Trafik arah utara terhenti dan sesak sejauh 5 kilometer manakala arah selatan sesak hingga 8 kilometer.

"Pengguna untuk ke utara dinasihatkan keluar di Plaza Tol Tapah manakala arah selatan, hanya lorong paling kiri boleh dilalui," katanya.