Siasat penyebar tular kakitangan SUK Kelantan 'potong barisan'

Taufik (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di IPD Kota Bharu pada Rabu.
Taufik (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di IPD Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan pada Rabu membuat laporan polis berhubung tular yang mendakwa kakitangan kerajaan cuba memotong giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Laporan dibuat pada jam 11 pagi oleh Pegawai Khas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Taufiq Ramli di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu di sini.

Taufik berkata, laporan dibuat kerana isu yang tular itu menjejaskan integriti kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan Kelantan.

"Atas kapasiti peribadi dan sebagai penjawat awam, saya terpanggil untuk membuat laporan polis kerana penyebaran perkara tidak benar ini telah menjejaskan reputasi kerajaan.

"Kita minta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap penyebar khabar tidak benar ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan IPD Kota Bharu di sini pada Rabu.

Ahad lalu, tular satu paparan tangkap layar berhubung dakwaan cubaan seramai 200 kakitangan kerajaan negeri Kelantan untuk memotong giliran mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Kerajaan negeri kemudian membuat penafian berhubung perkara itu pada Selasa.

Bagaimanapun, Taufik berkata, beliau masih menerima gambar tangkap layar berkenaan menerusi ciapan di laman sosial walaupun kerajaan negeri sudah membuat penafian berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Maka sebab itu, saya tampil membuat laporan supaya polis membuat siasatan terhadap ciapan-ciapan tersebut yang pada hemat saya telah melanggar undang-undang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kelantan nafi kakitangan SUK potong barisan vaksin