Kerajaan putus tiada keperluan adakan sidang Parlimen

Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Daripada segi perundangan, katanya, Perkara 150 (2B) dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

“Maka keperluan untuk Parlimen bersidang bagi membuat undang-undang itu tidak ada.

“Apabila perkara ini dilaksanakan, kenyataan dibuat oleh Istana Negara itu adalah menjelaskan perkara bahawa tidak ada persidangan Parlimen. Namun demikian, mana-mana sesi Parlimen yang nak dipanggil mestilah berikutan dengan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri.

“Jadi sekarang ini, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen. Jadi, itulah keadaan sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Februari lalu.

Dalam titah tersebut, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Takiyuddin berkata, kenyataan terbaharu daripada Istana Negara itu turut menyatakan bahawa ketetapan untuk mengadakan persidangan Parlimen perlu mendapat keputusan daripada Parlimen.

“Jadi di sini, Kabinet apabila membuat nasihat kenapa kita menangguhkan bukan menggantung persidangan (Parlimen), ini kerana banyak alasan termasuk perundangan, sains dan data,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, keputusan tersebut juga dibuat dengan mengambil kira faktor kesihatan khususnya yang melibatkan keselamatan ahli Parlimen.

"Saya nak nyatakan, di Parlimen terdapat seramai 220 ahli (Parlimen). Daripada jumlah tersebut, seramai 77 orang ahli Parlimen berumur 61 hingga 69 tahun.

"Seramai 19 orang berumur antara 70 hingga 79 tahun, sementara seramai empat orang berumur 80 tahun ke atas.

"Hampir sebahagian ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko dan kita tak mahu terdedah kepada perkara-perkara ini sebab kita berada di ruang yang tertutup," ujarnya.