Buang tabiat pentingkan diri sendiri

Budaya potong barisan sudah menjadi penyakit dalam kalangan sesetengah masyarakat Malaysia. - Foto 123RF
Budaya potong barisan sudah menjadi penyakit dalam kalangan sesetengah masyarakat Malaysia. - Foto 123RF
A
A
A

BUDAYA potong barisan sudah menjadi penyakit dalam kalangan sesetengah masyarakat Malaysia.

Disebabkan mahu menjadi orang pertama atau malas menunggu lama, mereka tergamak melakukan perbuatan tidak beradab itu termasuklah perlu menyogok wang.

Perkara ini berlaku dalam berbagai hal. Daripada memotong barisan kenderaan di tengah-tengah kesesakan jalan raya sehinggalah mengatur temu janji doktor di hospital. Malah dalam hal ibadah pun, ada yang sanggup melangkau giliran haji kalau ada peluang.

Maka, apabila ada golongan VVIP didakwa potong barisan untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, ia tidaklah mengejutkan.

Dengan lebih dua juta orang telah terkorban akibat Covid-19 di seluruh dunia, tentulah ada yang berlumba-lumba mahu mendapatkan vaksin penyelamat tersebut.

Keadaan lebih rumit apabila tahap keberkesanan setiap vaksin adalah berbeza-beza.

Vaksin keluaran Pfizer misalnya mencatatkan keberkesanan sehingga 95 peratus namun vaksin Sinovac dari China cuma 65 peratus.

Walaupun ada pihak menafikan terdapat ahli politik dan orang kenamaan yang potong barisan tetapi kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi, dakwaan wujudnya cubaan potong barisan itu didedahkan oleh kalangan petugas barisan hadapan sendiri.

Justeru, langkah kerajaan mempertimbang tindakan denda dan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati memotong giliran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 amatlah wajar.

Ia terbukti perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri.

Ahli politik Malaysia seharusnya belajar daripada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden yang mengecualikan dirinya daripada senarai prioriti penerima vaksin fasa pertama di negaranya kerana mahu memberi keutamaan kepada rakyat yang lebih berisiko.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez pula mengarahkan Menteri Kesihatan, Gines Gonzalez Garcia meletak jawatan selepas rakan menteri itu memotong giliran untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 disebabkan hubungan akrabnya dengan Garcia.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.