'Tetap berkhidmat walaupun tanpa peruntukan'

Hannah Yeoh (dua dari kanan) ketika menyumbangkan 30 kampit beras kepada ‘food bank’ Masjid Al-Ghufran di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur pada Isnin.
Hannah Yeoh (dua dari kanan) ketika menyumbangkan 30 kampit beras kepada ‘food bank’ Masjid Al-Ghufran di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh bertekad untuk terus berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak menerima peruntukan seperti dahulu daripada kerajaan Persekutuan.

Hannah Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, sebagai wakil rakyat yang dipilih, beliau mempunyai amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Walaupun tanpa peruntukan daripada kerajaan, saya akan sentiasa mencari jalan untuk memberi sumbangan kepada rakyat.

“Khidmat saya tidak akan terhenti hanya kerana saya tiada peruntukan,” katanya selepas menyumbangkan 30 kampit beras kepada ‘food bank’ Masjid Al-Ghufran di Taman Tun Dr Ismail di sini.

Hannah ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin berkata, sebelum ini setiap ahli Parlimen menerima beberapa peruntukan termasuk sebanyak RM300,000 untuk kos operasi pusat khidmat.

Bagaimanapun katanya, ahli Parlimen pembangkang kini hanya menerima peruntukan sebanyak RM100,000.

“Dulu kita dapat RM 300,000 untuk operasi pusat khidmat tapi sekarang langsung tiada.

“Peruntukan sebanyak RM100,000 pula ada syarat-syarat penggunaan termasuk tak boleh digunakan untuk kos operasi pusat khidmat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hannah dalam pada itu turut memaklumkan Pusat Khidmat Rakyat Hannah Yeoh memperoleh kutipan sumbangan sebanyak RM380,913.79 daripada orang ramai selepas isu peruntukan dibangkitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sebelum ini mendakwa bahawa beliau dan beberapa ahli Parlimen UMNO lain hanya mendapat peruntukan RM100,000, yang menurutnya sama seperti diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.