Aidilfitri tetap meriah walaupun cuaca panas

Fenomena cuaca panas dan bahang tidak menghalang umat Islam untuk kunjung mengunjung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini. - Gambar hiasan 123RF
Fenomena cuaca panas dan bahang tidak menghalang umat Islam untuk kunjung mengunjung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Aidilfitri tahun 2023 tetap disambut dengan meriah walaupun cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Meskipun berdepan dengan fenomena bahang, umat Islam tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, menghadiri majlis sambutan hari raya, menziarahi pusara ahli keluarga serta mengunjungi sanak saudara.

Menurut laman sesawang Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat beberapa buah negeri mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu melebihi 100 sekitar petang semalam.

Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ogos ekoran perubahan kitaran musim kepada Monsun Barat Daya.

Pakar Klimatologi, Dr Fredolin Tangang menjelaskan, monsun tersebut mengakibatkan cuaca paling kering dengan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius terutamanya di Semenanjung Malaysia.

"Apa yang kita alami sejak seminggu ini mengikut ramalan yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat adalah pergerakan pusat tekanan tinggi yang bergerak dari Lautan Hindi merentasi Malaysia dan menghalang perolakan," katanya.

Oleh itu, perlu diingat, ancaman cuaca panas dan berjerebu lebih membahayakan kesihatan, malah boleh mengakibatkan seseorang itu terdehidrasi dan lebih teruk, diserang strok haba.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat atau cuaca panas dinasihati agar menghadkan aktiviti fizikal lasak.

Katanya, pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari adalah perlu bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan penting untuk mengawal atur suhu badan.

"Kerapkan mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba daripada badan.

"Gunakan alat penyaman udara dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar jika berkemampuan," ujarnya.