Unit cerun DBKL perlu diperkasa - Hannah Yeoh

Hannah Yeoh melawat lokasi kejadian tanah runtuh runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin pada Rabu.
Hannah Yeoh melawat lokasi kejadian tanah runtuh runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa memperkasakan Unit Cerun, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran untuk memastikan pasukan itu mempunyai lebih ramai pakar dalam mengendalikan kes hakisan dan tanah runtuh.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, unit terbabit perlu lebih ramai pakar kerana terlalu banyak aduan berkaitan runtuhan tanah khususnya di Parlimen Segambut sejak tahun lalu.

"Pemerkasaan unit itu penting untuk memastikan tindakan yang lebih berkesan dan segera untuk mengelakkan insiden yang lebih serius berlaku akibat tanah runtuh.

"Kita terima lebih 100 aduan mengenai hakisan tanah pada tahun lalu, kita tahu di kawasan Segambut dan Lembah Pantai ini, banyak kawasan berbukit," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin dekat sini pada Rabu.

Hannah berkata, beliau sudah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh untuk memperkasakan unit terbabit dan sudah dibawa di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Namun, saya sedar terdapat kekangan di pihak DBKL, berkemungkinan mereka kekurangan sumber dan tidak cukup kakitangan untuk menjalankan pemeriksaan di setiap kawasan berbukit," katanya.

Mengulas kejadian tanah runtuh berhampiran bangunan MACA itu, Hannah berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan tindakan dan kerjasama yang dijalankan oleh pelbagai agensi bagi menangani masalah itu.

"Kejadian ini sangat bernasib baik kerana tidak membabitkan kemalangan jiwa. Laporan forensik sedang dijalankan dan kita akan tunggu sebelum memberi komen lanjut," katanya.

Pada Selasa, dilaporkan seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.