Segerakan undang-undang halang wakil rakyat lompat parti

Azrul Suhadi
Azrul Suhadi
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak menggesa satu undang-undang atau kod tata kelakuan segera diwujudkan bagi menyekat tindakan wakil rakyat melompat parti.

Setiausaha Putra Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar berkata, kejadian langkah Sheraton yang berlaku pada Febuari 2020 merupakan satu kelompongan yang terdapat dalam sistem berparlimen di negara ini.

Menurutnya, disebabkan itu ruang lompong berkenaan telah dieksploitasi oleh segerombolan wakil rakyat untuk menukar kerajaan sedia ada.

"Kod tatakelakuan yang dicadangkan ini tidak merujuk kepada kejadian langkah Sheraton sahaja. Terdapat beberapa siri yang telah berlaku sebelum ini yang mana wakil rakyat telah mengumumkan keluar dari parti politik yang beliau naungi.

"Secara asasnya, seorang wakil rakyat yang telah dipilih secara sah melalui Pilihan Raya Umum tetapi mempunyai hasrat keluar dari parti politik dinaunginya, maka wakil rakyat tersebut wajiblah meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan agar mandat untuk memilih wakil rakyat yang baharu dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih semula.

Menurut Azrul Suhadi, rakyat wajib diberikan peluang seluasnya dalam memilih wakil mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri kerana mereka mempunyai pandangan sendiri dalam memilih pemimpin melalui pilihan raya.

"Ada yang memilih wakil rakyat berdasarkan karektor individu. Ada yang memilih berdasarkan latar belakang parti yang wakil rakyat itu wakili. Setiap pengundi ada asas masing-masing dalam memilih wakil rakyat yang mereka dambakan. Maka, keabsahan pemilihan itu perlu dilakukan semula.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, adalah tidak adil sekiranya wakil rakyat itu secara mudah mengumumkan yang beliau keluar dari parti asal untuk sertai parti baru, atau hanya untuk menjadi wakil rakyat bebas," katanya.

Azrul Suhadi berkata, cadangan tersebut amat perlu diwujudkan bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih tidak akan berterusan berpolitik dan membelakangkan tanggungjawab hakiki serta mempersenda amanah yang telah rakyat berikan.

Katanya, rakyat memerlukan wakil rakyat yang faham definisi 'Yang Berhormat' bukannya buruh upahan yang boleh disuruh-suruh membuta tuli.