RUU Lompat Parti dapat sokongan lebih dua pertiga ADUN Sabah

Hajiji ketika sidang akhbar di DUN Sabah.
Hajiji ketika sidang akhbar di DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 bagi larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti mendapat sokongan melebihi dua pertiga dalam persidangan DUN Sabah pada Khamis.

RUU itu mendapat sokongan daripada ADUN menerusi undian secara belah bahagian di mana 75 ADUN menyokong, manakala empat lagi ADUN tidak hadir.

Fasal 1, 3, 4 dan 5 yang terkandung dalam RUU itu telah dipersetujui secara sebulat suara bagaimanapun bagi Fasal 2 undi belah bahagi dilakukan di mana 14 ADUN daripada Parti Warisan (Warisan) menyatakan pendirian tidak bersetuju.

Menerusi undi belah bahagian itu juga seramai 61 ADUN telah menyokong, manakala empat lagi ADUN tidak hadir.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam pembentangannya berkata, ia selaras dengan RUU itu yang mengandungi lima fasal.

Ini termasuk Fasal 2 yang terkandung dalam RUU yang bertujuan untuk memotong Fasal (7) Perkara 6 memandangkan Fasal (7) tersebut tidak lagi selaras dengan kehendak di bawah Fasal (3) Perkara 6 berikutan situasi politik semasa.

Beliau berkata, cadangan itu dilakukan berikutan keadaan politik semasa ketika ini sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri di mana kerajaan hanya boleh dibentuk apabila parti-parti mencapai kata sepakat untuk membentuk sebuah gabungan.

"Oleh itu perkara 6 Fasal (7) ini tidak lagi relevan malah menimbulkan kekeliruan dan perbahasan dalam kalangan ADUN dan juga rakyat.

"Kehendak Fasal (3) yang memperuntukkan bahawa Yang Dipertua Negeri hendaklah melantik seseorang Ketua Menteri dari kalangan ADUN yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ADUN sudah memadai bagi pelantikan seseorang Ketua Menteri," katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam sidang akhbarnya memaklumkan bahawa RUU Anti Lompat Parti telah mendapat sokongan daripada semua ADUN.

"Ini menunjukkan bahawa kita mengamalkan satu prinsip mesyuarah untuk mendapat keputusan untuk kepentingan rakyat dan Sabah.

"Jadi dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu maka kita tidak lagi perlu susah hati mengenai adanya ADUN-ADUN yang akan berpindah parti atau melompat di masa akan datang di Sabah.

"Ini juga selaras dengan pindaan Perlembagaan atau Anti Lompat yang diperkenal di peringkat Persekutuan dan saya yakin rakyat dna semua parti politik amat bersetuju dan daripada sokongan kita dapat tadi pun semua ahli-ahli politik dan ADUN menyokong 100 peratus undang-undang anti lompat parti itu," katanya.