X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Kilang rekod peningkatan kes Covid-19 diarah tutup

Notis perintah tutup dikeluarkan kepada pihak kilang di bawah Seksyen 18 (1) (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang di Kuala Langat yang dilapor merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerjanya diarahkan ditutup serta-merta bermula Isnin.

Difahamkan, notis perintah tutup berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 18 (1) (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penutupan premis kilang terbabit.

Menurutnya, penutupan itu bagi memberi ruang kepada pihak kilang menjalankan proses sanitasi dan saringan membabitkan semua pekerjanya.

“Jumlah kes (direkodkan di kilang itu) ramai, jadi penutupan untuk saring semua kakitangannya. Proses sanitasi di kawasan kilang juga akan dijalankan,” katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Selangor dan Wilayah Persekutuan mendedahkan pihaknya menerima aduan terdapat 1,500 pekerja di sebuah kilang di Kuala Langat bekerja dalam ketakutan berikutan penularan mendadak wabak Covid-19 di kilang terbabit sejak 21 Februari lalu.

Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata, beliau dimaklumkan gelombang pertama berlaku di kilang tersebut pada awal bulan lalu apabila 19 pekerja disahkan positif.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat telah membuat lawatan ke kilang terbabit dan menasihati pengurusan premis itu mematuhi garis panduan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, sekitar 1,500 pekerja juga telah diarah melakukan ujian saringan sebelum 28 orang disahkan positif Covid-19.

Gelombang kedua dikatakan secara tiba-tiba berlaku di kilang tersebut bermula 21 Februari lalu apabila beberapa pekerja yang tidak sihat didapati positif Covid-19 selepas pemeriksaan kesihatan.

Sehingga Ahad, 70 pekerja kilang terbabit (menerusi pengesahan daripada pekerja) tidak termasuk jumlah keluarga disahkan positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: MTUC terima aduan 1,500 pekerja kilang dalam ketakutan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!