X

Kindly register in order to view this article
!

Hasni individu pertama di Johor disuntik vaksin Covid-19

Hasni ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri di Dewan Muafakat Johor Taman Adda pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri di Dewan Muafakat Johor Taman Adda di sini pada Isnin.

Suntikan vaksin seterusnya diberikan kepada barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Alhamdulilah, setakat ini saya baik sahaja, tidak rasa apa- apa kesan," katanya secara spontan ketika melambai kepada petugas media sebelum beredar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menerima suntikan tersebut pada jam 8.45 pagi dari Ketua Jururawat Unit Kualiti dan Latihan, Pejabat Kesihatan Johor Bahru, Badariah Mohd Khalid, 49, dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Kempas, Norazrina Johari, 27.

Mengenai jumlah penerima vaksin Covid-19 fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri Johor, katanya seramai 35,100 barisan hadapan akan menerima suntikan berkenaan.

"Jumlah dos vaksin yang sedia ada pada fasa pertama adalah 70,200 dos dan bilangan barisan hadapan yang akan diberikan vaksinasi adalah sebanyak 35,100 orang berdasarkan dua dos setiap orang.

"Jumlah petugas barisan hadapan di negeri ini sebanyak 41,034 orang dan terdapat kekurangan vaksin bagi menampung keperluan baki jumlah barisan hadapan sebanyak 5,934 orang," katanya.

Pada 21 Februari lalu, Johor telah menerima sejumlah vaksin menerusi Tambak Johor sebelum disimpan di empat pusat penyimpanan vaksin di negeri ini iaitu di Hospital Permai Johor Bahru; Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat; Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Menurut Hasni, Program Imunisasi Covid-19 fasa kedua dijangka dilaksanakan pada bulan hadapan membabitkan warga emas, penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya selain golongan orang kurang upaya (OKU).

"Fasa Ketiga pula akan membabitkan masyarakat yang berumur 18 tahun dan ke atas.

"Kerajaan negeri menyasarkan lebih daripada 80 peratus rakyat Johor akan menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri menerusi tiga fasa," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!