X

Kindly register in order to view this article
!

KDN tamat kemudahan tanpa visa pelancong China dan India

Hamzah
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menamatkan kemudahan tanpa visa warganegara China dan India menerusi Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selain itu berkata, sekatan kemasukan pelancong dan warganegara asing dari negara yang berisiko tinggi juga diteruskan.

"Dasar penting ini bagi tujuan kawalan kemasukan warga asing di pintu-pintu masuk negara," katanya semasa berucap dalam Amanat Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook KDN pada Jumaat.

Pelaksanaan eNTRI adalah kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India untuk memasuki Malaysia atas tujuan melancong atau sosial bagi tempoh 15 hari.

Ia mula dilaksanakan kepada pelancong warganegara China pada 1 Mac 2016 sebelum diperluas kepada pelancong India pada 1 April 2017 dengan lanjutan dilaksanakan secara tahunan mengikut keperluan.

Media sebelum ini melaporkan kemudahan eNTRI disalahgunakan pihak tertentu untuk pelbagai tujuan, termasuk menyeludup masuk warga China dan India yang hendak berhijrah ke negara ketiga, selain terbabit dalam jenayah seperti 'love scam', macau scam dan pemerdagangan manusia.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, sepanjang penguatkuasaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 64,651 kompaun telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, sebanyak 30,921 tangkapan telah dibuat ke atas pesalah yang ingkar PKP.

"Sebenyak 3,460 reman serta 23,012 pendakwaan telah dilaksanakan," katanya.

Dari segi pengurusan penahanan, Hamzah berkata, KDN juga telah bertindak proaktif dengan mewartakan 11 buah penjara sementara.

“Dan (kita) dalam perancangan untuk menggunakan lima kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi kesalahan ringan dan pesalah ingkar PKP,” katanya.

Hamzah dalam amanatnya juga menyatakan kawalan sempadan antara fokus utama kerajaan sepanjang tempoh PKP bagi mengekang Covid-19.

Disebabkan itu, katanya, Ops Benteng telah dilancarkan bermula dari 1 Mei tahun lalu di bawah kendalian National Task Force (NTF).

“Ops Benteng antaranya telah berjaya melaksanakan objektifnya untuk mengekang pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui tangkapan dan pengusiran, tangkapan ke atas tekong dan merampas bot haram yang cuba memasuki perairan negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!