Pelancong China 'kantoi' seludup masuk kayu gaharu

Hamisan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan kayu gaharu yang dirampas daripada seorang pelancong China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada Mei lalu.
Hamisan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan kayu gaharu yang dirampas daripada seorang pelancong China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pada Mei lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Cubaan seorang pelancong asing dari China menyeludup masuk 12.8 kilogram (kg) kepingan kayu gaharu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas gagal selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa jam 10.05 malam selepas tiba dari negara jiran pada Mei lalu.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap lelaki terbabit menemukan bahan terbabit yang disyaki tidak berkastam dalam bagasi yang dibawanya.

“Kepingan kayu gaharu bernilai RM35,626 termasuk cukai itu didapati dibawa masuk dari negara jiran untuk kegunaan ibadat,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Kastam Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.

Hamisan berkata, lelaki terbabit dikenakan kompaun dan membayar cukai selepas didapati bersalah manakala barang dagangan itu telah dirampas dan dilucut hak.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.