UMS terima 44 pelajar OKU

Ruang laluan OKU (ramp) di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS. (Gambar kecil: Dr Norhuda Salleh)
Ruang laluan OKU (ramp) di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS. (Gambar kecil: Dr Norhuda Salleh)
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 44 pelajar orang kurang upaya (OKU) akan memulakan pengajian di peringkat pengajian prasiswazah dan pascasiswazah dalam pelbagai bidang pada sesi akademik 2020/2021 Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Pengurusan Strategik & Komunikasi Korporat UMS, Dr Norhuda Salleh berkata, UMS berusaha melengkapkan kemudahan peralatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk pelajar OKU selain hak inklusif Pusat Pengurusan OKU (PPOKUMS) dalam tempoh 24 bulan.

Menurutnya, antara kemudahan dalam PdP ialah penyediaan kubikal, bahan-bahan bacaan dalam huruf braille, ruang yang sesuai untuk membaca, bantuan sokongan sosial dalam pencarian bahan rujukan dan kemudahan asas seperti laluan khas, tandas, tempat letak kereta khas.

“Kebajikan pelajar OKU juga tidak dipinggirkan apabila Kolej Kediaman Tun Fuad buat masa ini dijadikan kolej berpusat bagi menempatkan pelajar OKU dengan kemudahan kolej kediaman mesra OKU,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, beliau berkata, bagi memastikan PPOKUMS mencapai objektif penubuhannya, Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif OKU di IPT menjadi teras rujukan di UMS untuk kelestarian pelajar.

Jelasnya, sebagai sebuah universiti rakyat di Sabah, UMS berusaha melaksanakan amalan baik menyediakan khidmat sokongan dan kemudahan pelajar OKU.

“Sehubungan itu PPOKUMS berusaha meminimumkan halangan fizikal daripada segi akses infrastruktur, menyediakan format penyampaian maklumat yang sesuai, prosedur yang fleksibel dan sikap terbuka serta empati dalam kalangan warga UMS kepada golongan ini.

“Pelajar OKU turut mengisi masa lapang dengan menganggotai Kelab Mahasiswa OKU UMS dan ia dapat membantu mereka merangka aktiviti sesuai, bertukar pandangan dan fikiran serta menyumbang idea kepada PPOKUMS bagi meningkatkan kemudahan dan emosi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Norhuda berkata, pandemik Covid-19 tidak menghalang pelajar OKU UMS cemerlang dalam pelajaran.

Tambahnya, ia terbukti apabila pada tahun 2020, 10 daripada pelajar OKU dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi dan Pendidikan manakala sembilan lagi memperoleh Ijazah Sarjana Muda.

“Selain daripada pelajar, UMS juga menerima kakitangan OKU iaitu seorang profesor madya dalam bidang Sejarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan tiga lagi berkhidmat di bahagian pentadbiran UMS,” kata beliau.

Bagi melestarikan perkhidmatan OKU di UMS, beliau berkata, dana penyelidikan telah disalurkan kepada kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, Profesor Madya Dr Muhammad Ideris Bullare.

“Kajian ini diharap dapat membantu UMS membuat penambahbaikan yang berterusan.

"Diharapkan pengurusan UMS di bawah kepimpinan Naib Canselor, Datuk Chm Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin akan terus komited mendukung dan memastikan dasar Iklusif OKU di IPT 2018 dan Akta OKU 2008 dijayakan sepenuhnya,” katanya.