Guru Tabika, Taska Kemas perlu dipertimbang terima vaksin fasa satu

Abdul Rahman (kanan) menerima logo sambutan jubli emas Kejora dari A Jalil ( kiri) di Bandar Penawar pada Khamis.
Abdul Rahman (kanan) menerima logo sambutan jubli emas Kejora dari A Jalil ( kiri) di Bandar Penawar pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seramai kira-kira 12,000 guru Taman Bimbingan Kanak- kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara diharap menjadi penerima awal vaksin Covid- 19.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, suntikan vaksin tersebut penting bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di Tabika dan Taska Kemas yang akan dibuka 1 Mac ini.

Katanya, KPLB akan membawa isu ini kepada Kabinet untuk dibincangkan supaya guru Tabika dan Taska dimasukkan sebagai penerima vaksin bagi fasa satu Program Vaksinasi Covid- 19 negara.

"Terdapat kira- kira 7,000 kelas tabika dan taska setakat ini, di mana seramai 12,000 kanak-kanak yang mengikuti kelas ini seawal empat hingga enam tahun.

"Guru Tabika dan Taska Kemas juga merupakan petugas barisan hadapan yang mengajar dan mendidik anak-anak ketika negara berdepan Covid-19, suntikan vaksin ini dapat melindungi mereka dan murid," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Jubli Emas Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Bangunan Kejora, Jalan Dato Haji Hassan Yunus, Bandar Penawar di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusinya, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh dan Pengurus Besar Kejora, A Jalil Md Arshad.

Pada Rabu, media melaporkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan memastikan kira-kira 55,000 guru menerima suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka 1 Mac ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyerahkan senarai guru berkenaan kepada JKJAV.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Abdul Rahman berkata, sempena sambutan 50 tahun Kejora, beliau berharap pelbagai program dan aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021 hingga 2022 akan menyemarakkan sambutan jubli emas pada tahun hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan percepat vaksin kepada guru: Khairy