Kerajaan akan percepat vaksin kepada guru: Khairy

Khairy Jamaluddin ketika sidang media pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Presint 11 hari ini. -Foto Bernama
Khairy Jamaluddin ketika sidang media pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Kesihatan Daerah Presint 11 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan berusaha untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada hampir 55,000 guru sebelum sesi persekolahan bermula.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu sedang diusahakan.

"Senarai guru telah diserahkan kepada kementerian dan kita sedang meneliti bagaimana untuk melaksanakan (beri vaksin) secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas selesai Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, guru yang tersenarai untuk mendapatkan vaksin itu tidak mengambil kira faktor geografi tetapi melibatkan faktor kesihatan sama ada ada komobiliti atau sebaliknya.

Pada Ahad, terlakar satu lagi sejarah apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin Covid-19.

Selain Muhyiddin, Ketua Pengarah Kesihatan,Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bersama empat petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi antara penerima suntikan wabak tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa memaklumkan, individu yang akan disuntik vaksin Covid-19 perlu melalui lima stesen di PPV dengan proses suntikan mengambil masa antara 15 dan 30 minit termasuk proses pemantauan untuk kesan sampingan.

Menurutnya, stesen pertama ialah untuk saringan gejala dan suhu, stesen kedua untuk pendaftaran, stesen ketiga bagi konsultasi dan persetujuan imunisasi, stesen keempat untuk suntikan vaksin Covid-19 serta stesen kelima untuk pemerhatian.

Artikel Berkaitan: