Ibu Jamaluddin Jarjis saman cucu tuntut syer RM1.3 bilion

A
A

PUTRAJAYA - Ibu kepada bekas Adun Rompin, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Aminah Abdullah memfailkan saman terhadap dua cucunya kerana gagal memasukkan saham tiga buah syarikat bernilai RM1.3 bilion dalam senarai aset harta pusaka allahyarham.

Aminah selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal bulan lalu dengan menamakan anak allahyarham, Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada prosiding pengurusan kes itu semalam, mahkamah menetapkan 2 April depan untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Firuz Jafril.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Aminah, 85, mendakwa kedua-dua defendan sebagai pentadbir bersama harta pusaka allahyarham gagal memasukkan sebahagian syer dari tiga buah syarikat iaitu Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insights Wawasan Sdn Bhd ke dalam senarai aset dan liabiliti milik allahyarham.

Dakwa Aminah tindakan itu dibuat bertujuan menafikan hak dan kepentingan plaintif terhadap harta pusaka si mati.

Selain itu, Aminah juga mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal menyatakan anggaran nilai saham syarikat itu selain gagal memberi maklumat berhubung harta pusaka si mati sebelum plaintif melantik peguam syarie dan peguamcara untuk bertindak bagi pihak plaintif.

Aminah turut mendakwa defendan-defendan gagal menyenaraikan sebuah apartmen di Amerika Syarikat bernilai RM10 juta ke dalam senarai aset yang dilampirkan bersama surat pentadbiran.

Dakwanya, beliau mempunyai kepentingan dalam harta pusaka milik allahyarham kerana beliau merupakan ibu kandung dan waris sah.

Dakwanya beliau mempunyai kepentingan 1/6 daripada syer tiga syarikat tersebut dan berhak memfailkan tindakan ke atas pentadbir harta pusaka bagi melindungi harta pusaka.

Sehubungan itu Aminah menuntut defendan-defendan memindah milik saham-saham tiga syarikat itu kepada pentadbir bersama harta pusaka.

Beliau juga menuntut pentadbir bersama harta pusaka meminda senarai aset di dalam geran surat kuasa dengan memasukkan syer-syer yang dituntut serta mengakaunkan dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan dalam tiga syarikat kepada beliau.

Turut dituntut kedua-dua defendan menandatangani kesemua dokumen yang perlu selain kos serta relif lain yang sesuai.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia