Ekzos bising boleh dikenakan denda, penjara

KUALA LUMPUR - Pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.
"Mana-mana orang yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan penjara," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.