Berhenti kenderaan lebihi garisan putih berdepan denda, penjara

Pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan melebihi garisan putih boleh dikenakan tindakan penjara dan denda. (Gambar kecil: Mohd Nasri)
Pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan melebihi garisan putih boleh dikenakan tindakan penjara dan denda. (Gambar kecil: Mohd Nasri)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan melebihi garisan putih boleh dikenakan tindakan penjara dan denda.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, Op Garisan Putih antara yang telah dilaksanakan menerusi Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara.

Menurutnya, salah satu daripada operasi yang dijalankan ialah Kaedah 38 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (LN166/1959) iaitu tidak boleh memberhentikan kenderaan di lintasan.

"Ia menyatakan bahawa pemandu kenderaan tidak boleh menyebabkan kenderaan atau mana-mana bahagian kenderaannya berhenti di dalam kawasan lintasan melainkan sama ada dia dilarang daripada bergerak oleh keadaan yang diluar kawalannya atau jika perlu baginya untuk berhenti bagi mengelakkan kemalangan.

"Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

PDRM menerusi JSPT melaksanakan Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara.
PDRM menerusi JSPT melaksanakan Op Pematuhan Peraturan Lalu Lintas di seluruh negara.



Beliau berkata, pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak berhenti melebihi garisan putih kerana perbuatan ini adalah salah satu punca berlakunya kesesakan jalan raya selain mengundang kemalangan dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Justeru, JSPT menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

"Pastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi," ujarnya.

Pada 28 Julai, JSPT Bukit Aman memaklumkan pelaksanaan enam operasi khas bagi mendidik dan pertingkat kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Tindakan pematuhan peraturan lalu lintas itu meliputi Op Lampu Isyarat Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Halangan Lalu Lintas, Op Garisan Putih, Op Parkir Haram dan kempen Op Didik.

PDRM melalui JSPT akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas semua pengguna kenderaan di seluruh negara bagi mendidik dan memberi kesedaran agar mematuhi undang-undang lalu lintas.