Isu murtad: Yadim sedia kerjasama dengan NGO beri penjelasan

Yadim sedia bekerjasama dengan NGO untuk memberi penjelasan dan tindakan berhubung isu memurtadkan penganut Islam.
Yadim sedia bekerjasama dengan NGO untuk memberi penjelasan dan tindakan berhubung isu memurtadkan penganut Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi penjelasan dan tindakan berhubung isu memurtadkan penganut Islam seperti yang sedang tular ketika ini.

Menurut Yadim, pihaknya akan menggerakkan segala usaha yang perlu untuk memastikan isu akidah Islam di Malaysia dapat difahami sebaiknya dan tidak diperkotak-katikkan.

“Yadim akan menggerakkan jentera dalaman di peringkat pusat dan juga negeri.

“Gerakan ini akan diperkasakan lagi dengan penglibatan 280 NGO Islam utama yang bernaung di bawah Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut Yadim berkata, pihaknya turut menyambut baik ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam isu memurtadkan penganut Islam.

Katanya, pihaknya sedar dan faham tentang kebimbangan rakyat apabila isu berkenaan berlaku di negara.

“Ia bukan sekadar tentang pemahaman akidah yang menjadi asas seseorang Muslim, tetapi juga isu pemahaman Perlembagaan yang menjadi asas seseorang menjadi warganegara Malaysia.

“Tindakan undang-undang dan penguatkuasaan sememangnya amat penting, namun aspek pendidikan, kesedaran dan keprihatinan perlu dititikberatkan bagi kestabilan jangka masa panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Yadim menyeru agar rakyat dapat memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan.

Baru-baru ini, tular sebuah video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki mengaku telah memurtadkan seorang wanita Islam, dipercayai isterinya di media sosial.

Video itu mendapat ribuan tontonan daripada warganet.

ARTIKEL BERKAITAN: Video murtad: Biar polis jalankan siasatan, kata Jakim

Polis sudah kenal pasti identiti lelaki murtadkan wanita Islam