Implikasi terhadap hak kebebasan bersuara rakyat

Kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak. - Foto hiasan 123RF
Kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini yang didapati bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca akan memberi impak khususnya berkaitan hak kebebasan bersuara di negara ini.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut, namun bimbang ia akan mencipta suatu duluan kehakiman yang mungkin akan memberikan implikasi terhadap hak rakyat kepada kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat di negara ini.

Menurut kenyataan itu, kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak.

Sebaliknya, katanya, ia boleh dibataskan oleh undang-undang bagi tujuan mengekalkan keselamatan negara, ketenteraman awam, prinsip moral dan hubungan antarabangsa.

"Dalam era digital kini di mana perbincangan serta komen dibuat secara terbuka, pemilik portal tidak seharusnya dipertanggungjawabkan terhadap komen yang dibuat oleh pembaca dalam portal mereka.

"Dalam perkara ini, Suhakam menekankan bahawa rangka kerja undang-undang perlu mengikut arus perkembangan di mana meningkatnya penggunaan media digital sebagai platform perbincangan isu berkaitan kepentingan awam," kata kenyataan tersebut pada Sabtu.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Dalam pada itu, Suhakam menegaskan, media adalah alat penting yang menyumbang kepada kesedaran dan perlindungan hak asasi manusia yang lebih baik melalui pelaporan mengenai keadaan hak asasi manusia dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, katanya, suatu persekitaran yang membolehkan media berfungsi secara berkesan harus diwujudkan bagi memenuhi kepentingan orang ramai.

"Apa-apa permintaan atau langkah yang diambil untuk menurunkan kandungan digital harus berdasarkan undang-undang, pengawasan bebas melalui kaedah yang perlu dan berkadaran bagi mencapai matlamat sah seperti disebut di atas.

"Akses sama rata kepada maklumat, jaminan kebebasan media dan kewartawanan yang bertanggungjawab menggambarkan komitmen Malaysia untuk mempromosi dan melindungi hak orang ramai kepada kebebasan berpendapat dan bersuara.

"Ini termasuk kebebasan berpendapat tanpa gangguan, serta hak untuk mendapatkan, menerima dan menyampaikan maklumat serta buah fikiran melalui apa jua saluran tanpa mengira sempadan," katanya.