Batu pengadang Sungai Choh dibuka

Kerja membuka jalan antara Rang-Hulu Selangor di Sungai Choh hari ini. Gambar tular.
Kerja membuka jalan antara Rang-Hulu Selangor di Sungai Choh hari ini. Gambar tular.
A
A
A

HULU SELANGOR - Batu pengadang konkrit yang diletakkan di sempadan antara Rawang - Hulu Selangor di Sungai Choh di sini akhirnya dibuka.

Sebelum ini, tular gambar memaparkan kesukaran orang awam menguruskan jenazah yang terpaksa diusung melepasi batu pengadang yang memisahkan antara dua daerah itu.

Keadaan tersebut telah menarik perhatian Ketua UMNO Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang meminta laluan tersebut dibuka untuk tujuan kecemasan.

Menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat, beliau mengucapkan terima kasih selepas kesusahan penduduk di dua daerah itu mendapat perhatian pihak berkuasa.

Laporan kesukaran menguruskan jenazah yang terpaksa diusung melepas sempadan antara dua daerah. Kemas kini di Facebook Mat Nadzari selepas sempadan antara dua daerah itu dibuka pada Jumaat.
Laporan kesukaran menguruskan jenazah yang terpaksa diusung melepas sempadan antara dua daerah. Kemas kini di Facebook Mat Nadzari selepas sempadan antara dua daerah itu dibuka pada Jumaat.

"Barricade Sungai Choh - Terima kasih pihak berkuasa. Mohon maaf sekiranya usaha kami yang sedikit untuk masyarakat ada yang tidak kena dan tidak disenangi. Tahniah dan jutaan terima kasih sekali lagi," tulisnya ringkas yang turut berkongsi gambar lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe mengesahkan laluan tersebut telah dibuka pada Jumaat.

Menurutnya, pembukaan sempadan tersebut dilakukan bukan disebabkan penularan gambar yang tersebar baru-baru ini sebaliknya diputuskan dalam mesyuarat berdasarkan perkembangan semasa prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

"Perkara itu telah dibincangkan semula dalam mesyuarat pagi tadi dan setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan pengumuman SOP terbaru.

"Ia juga disebabkan pembatalan sekatan pergerakan 10 kilometer radius dan perbezaan sempadan daerah polis dan pentadbiran menyebabkan keputusan membuka batu pengadang itu dibuat," katanya.

Pihak berwajib di lokasi bagi membuka batu pengadang jalan yang memisahkan antara dua daerah Rawang-Hulu Selangor.
Pihak berwajib di lokasi bagi membuka batu pengadang jalan yang memisahkan antara dua daerah Rawang-Hulu Selangor.

Batu pengadang tersebut dipasang pada 13 Januari lalu di sempadan daerah Gombak dan Hulu Selangor apabila PKP 2.0 dilaksanakan.

Ia bertujuan menyekat pergerakan rentas daerah di kawasan tersebut yang mana pengguna telah dimaklumkan untuk menggunakan jalan alternatif iaitu Rawang Bypass.