Nelayan bantah pembinaan projek pelabuhan minyak

Mohd Zulkifli (tiga dari kiri) menunjukkan memorandum bantahan projek yang dilaksanakan.
Mohd Zulkifli (tiga dari kiri) menunjukkan memorandum bantahan projek yang dilaksanakan.
A
A
A

PORT DICKSON - Persatuan Nelayan Port Dickson membantah pembinaan projek pelabuhan minyak di perairan laut Port Dickson yang dikhuatiri menjejaskan sumber pendapatan seramai 362 nelayan di kawasan itu.

Pengerusinya, Mohd Zulkifli Mohd Taib berkata, pelaksanaan projek berkenaan akan menyebabkan kawasan aktiviti perikanan di kawasan itu akan menjadi semakin kecil sekali gus memusnahkan hidupan marin.

"Sebenarnya kami pun tak tahu status projek ini cuma sejak sebulan lalu dah nampak kapal berlabuh. Di bawah persatuan, rundingan dengan pihak syarikat yang mengendalikan projek itu sudah berlarutan sehingga dua tahun.

"Kami telah pun nyatakan alasan kenapa menolak projek itu dan turut meminta pampasan RM6.5 juta jika ia masih mahu diteruskan atas alasan projek itu jejaskan kehidupan nelayan. Tapi hanya dua minggu lepas mereka beritahu tidak boleh bayar pampasan dan projek itu akan tetap dilaksanakan juga, "katanya pada sidang akhbar di Pejabat Persatuan Nelayan Port Dickson di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, beliau telah meminta penjelasan daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang mengeluarkan permit, namun malangnya sehingga kini tiada maklum balas jelas berhubung perkara itu diterima.

Mohd Zulkifli menunjukkan memorandum bantahan projek yang dilaksanakan.
Mohd Zulkifli menunjukkan memorandum bantahan projek yang dilaksanakan.

Katanya, antara kesan lain yang akan berlaku dengan pembinaan pojek itu ialah risiko tumpahan minyak sekali gus akan menyebabkan bertambahnya pencemaran di laut.

"Pemasangan paip minyak yang baharu di dasar laut dengan penggalian dan pengubahsuaian kawasan berkenaan juga akan merosakkan struktur dasar laut.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana sebelum pemasangan paip yang baharu, pengendali projek akan mengeluarkan paip cabot lama yang mana proses ini akan menyebabkan sisa toksid, gas ammonia yang telah lama mendap di dasar laut akan terkeluar," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zulkifli berkata, rumah ikan dan sekitarnya turut musnah yang semestinya akan menyebabkan hidupan laut terancam.

Jelasnya, keadaan itu juga akan menyebabkan nelayan yang bergantung dengan sumber laut hilang sumber pendapatan.

"Risiko kerugian kepada nelayan adalah tinggi bila mana peralatan nelayan akan tersangkut pada boya yang dipasang syarikat terbabit.

"Lagipun semasa operasi penuh dilaksanakan, kapal minyak akan selalu keluar masuk dan ini akan menambahkan lagi risiko kemusnahan jaring ikan dilanggar kapal," katanya.

Mohd Zulkifli berkata, pihak persatuan dengan beberapa pihak lain termasuk Exco Pertanian Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir ada membuat perbincangan pada Selasa lalu dan difahamkan akan ada perbincangan buat kali kedua.

"Kami bukannya menolak pembangunan tapi kami hanya minta pembelaan. Sehubungan itu kami sangat berharap kerajaan boleh campur tangan dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Bakri ketika dihubungi Sinar Harian pula mengesahkan isu berkenaan sudah berada dalam pengetahuannya dan kini dalam proses mengumpul maklumat bagi mengetahui situasi sebenar.