Pelan PTK IPT lahir usahawan dalam kalangan pelajar, graduan IPT

Dr Noraini
Dr Noraini
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengajian Tinggi pada Khamis melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, PTK IPT 2021-2025 bertujuan mentransformasikan landskap keusahawanan di IPT daripada keusahawanan berasaskan keperluan kepada peluang.

Menurutnya, tiga teras strategi utama digariskan dalam PTK IPT 2021-2025 itu ialah memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik; memperkasakan jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi serta menekankan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi.

"Kerangka strategik ini akan membentuk ekosistem keusahawanan yang sinergistik antara keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pelaksanaan ketiga-tiga teras strategi tersebut diterjemahkan melalui buku Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi atau EIE yang memberikan penekanan kepada pemantapan kurikulum keusahawanan di IPT melalui enam fokus utama.

“Penekanan itu melalui enam fokus utama iaitu Asas Pengetahuan Dalam Keusahawanan; Pengetahuan Dalam Keusahawanan Lanjutan; Pengetahuan Dalam Bidang Perniagaan; Aktiviti Tambahan Kurikulum Keusahawanan; Kemahiran Pembangunan Manusia; dan Aperantis Keusahawanan,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, kedua-dua dokumen tersebut akan memandu arah pihak IPT dalam melahirkan graduan yang holistik dan seimbang daripada aspek ilmu dan akhlak, bercirikan usahawan serta berupaya menjadi pemimpin cemerlang pada masa depan.

“Dua dokumen dasar ini merupakan panduan asas yang lebih tuntas dalam mengupayakan ekosistem keusahawanan di IPT termasuk dalam aspek kurikulum.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-duanya saling melengkapi daripada aspek strategi dan juga fokus utama yang digariskan,” katanya.

Pada November, media melaporkan KPT sedang memuktamadkan PTK IPT 2021-2025 dan EIE dalam memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Noraini berkata, kedua-dua pelan tindakan itu akan menjadi garis panduan asas yang lebih tuntas dalam mengupayakan pembentukan ekosistem keusahawanan di IPT.