Kejatuhan Kesultanan Melaka perlu dijadikan pengajaran

Aripin Said
Aripin Said
A
A
A

KUANTAN - Sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 menjadi satu iktibar jelas bahawa rasuah dan pengkhianatan boleh melemahkan sesebuah kerajaan serta meruntuhkan ketamadunan bangsa.

Amalan rasuah amat bahaya bukan sahaja kepada sistem pentadbiran sesebuah negara, malah budaya negatif itu juga boleh meletakkan maruah sesuatu bangsa ke tahap lebih hina.

Tokoh Warisan Kebangsaan, Datuk Aripin Said berkata, rakyat perlu belajar daripada sejarah bagaimana bahayanya rasuah itu kepada kerajaan dan sistem sosial negara secara keseluruhannya.

Menurutnya, rasuah perlu ditangani habis-habisan di negara ini agar sejarah kejatuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka itu tidak berulang.

“Bangsa Malaysia adalah bangsa yang bermaruah, ada jati diri, beragama dan berbudaya, justeru jangan gadaikan nilai-nilai itu dengan menjadikan rasuah sebagai budaya demi kepentingan diri dan kelompok tertentu.

“Kita kena pegang nilai itu sebagai cara hidup dan menolak segala unsur negatif demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Beliau yang juga pejuang kesenian dan kesusasteraan negara berkata, rasuah boleh berlaku di semua peringkat sosial masyarakat termasuk dalam kalangan pemimpin dan rakyat awam baik sebagai pemberi atau penerima.

“Perkara ini memang berlaku dan tidak boleh dinafikan lagi, justeru ia perlu ditangani melalui undang-undang dan pada masa sama, kesedaran kepada bahaya menerima dan memberi rasuah ini perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai Melayu Islam, kita semua tahu, rasuah dilarang dalam agama bahkan dari segi undang-undang juga jelas perbuatan itu satu kesalahan serius jadi persoalannya kenapa masih ada yang terjebak?

“Jawapannya tidak lain tidak bukan kerana tamak dan ada kepentingan peribadi namun akhirnya dalam sesetengah keadaan budaya itu menjerat diri mereka,” katanya.

Aripin berkata, bukan sahaja dalam agama, malah budaya dan kesenian Melayu juga banyak menerapkan nilai jati diri dan maruah bangsa melalui cabang seni secara halus dan tersirat.

“Maka dalam konteks dunia moden hari ini, penerapan nilai-nilai ini juga boleh diterapkan dalam unsur sastera sebagai platform seni sama ada melalui lagu, puisi dan sebagainya.

“Pada masa sama golongan intelektual sastera juga perlu implikasikan ilmu dengan menerapkan unsur-unsur kesedaran bahaya rasuah dalam karya-karya mereka,” katanya.

Tambah beliau, paling penting, umat Islam kena akur dengan aturan syariat, buat yang disuruh tinggal perkara dilarang.

“Sebagai rakyat bernegara, kena patuhi undang-undang dan elak dekati unsur yang boleh memusnahkan keamanan dan kemakmurannya,” katanya.