X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Saksi kontak rapat rakan positif Covid-19, bicara 1MDB tangguh

Bicara kes 1MDB ditangguhkan pada Khamis selepas mahkamah dimaklumkan yang saksi pendakwaan ke-10 merupakan kontak rapat kepada seorang rakannya yang positif Covid-19.
A
A

KUALA LUMPUR - Kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan pada Khamis selepas mahkamah dimaklumkan yang saksi pendakwaan ke-10 merupakan kontak rapat kepada seorang rakannya yang telah diuji positif Covid-19.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu ke 3 Mei selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu apabila perbicaraan itu disambung semula selepas mahkamah berehat sebentar.

“Yang Arif, ketika sesi rehat Mohd Hazem Abd Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, menerima satu pesanan ringkas daripada rakannya, yang memaklumkan rakannya itu telah diuji positif Covid-19.

“Isnin lalu, saksi kami bertemu rakannya dalam sebuah bilik mesyuarat untuk tempoh lebih satu jam dan kurang dua jam. Mereka duduk berjarakan dua meter tetapi mesyuarat mereka diadakan lebih daripada satu jam.

“Sehubungan itu, saya memohon arahan daripada Yang Arif, sama ada untuk meneruskan dengan beliau (keterangan Mohd Hazim) hari ini atau untuk memberhentikan perbicaraan untuk masa ini,” kata Ahmad Akram dan menambah bahawa sukar bagi pihak pendakwaan menyediakan saksi lain untuk memberikan keterangan pada Khamis.

Peguam Bela bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya bangun dan menyatakan yang mereka “tidak mahu mengambil risiko.”

“Saksi boleh jadi kontak rapat utama (primary exposure) dan kita adalah peringkat kedua. Jadi kami tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya.

Berikutan itu, Hakim Sequerah kemudiannya menangguhkan perbicaraan ke 3 Mei depan dan mengarahkan pihak pendakwaan untuk mengemas kini status Mohd Hazem kepada mahkamah.

“Bukanlah suatu yang berhemat untuk mengambil risiko itu dan kita tidak tahu jika Mohd Hazim adalah asymptomatik”, katanya.

Pada 10 Februari, perbicaraan telah ditangguhkan akibat Mohd Hazem mengalami demam dan menjalani ujian Covid-19. Bagaimanapun beliau telah diuji negatif Covid-19.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan panggubahan wang haram melibatkan junmlah yang sama. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!