Pinda laporan audit 1MDB: 21 Julai pengurusan kes rayuan pendakwaan

Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Najib dan Arul Kanda dalam kes pinda laporan audit 1MDB, ditetapkan untuk satu lagi tarikh pengurusan kes, pada 21 Julai ini.
Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Najib dan Arul Kanda dalam kes pinda laporan audit 1MDB, ditetapkan untuk satu lagi tarikh pengurusan kes, pada 21 Julai ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dalam kes meminda laporan audit 1MDB, ditetapkan untuk satu lagi tarikh pengurusan kes, pada 21 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari dan peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan tarikh berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Jasmine berkata, rekod rayuan telah disiapkan dan pihak pendakwaan kini boleh memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi alasan-alasan mereka.

Satu pengurusan kes berlangsung di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini, yang kemudiannya menetapkan tarikh pengurusan kes berikutnya bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemas kini kepada mahkamah mengenai status petisyen rayuan.

Mohd Fairuz yang mewakili pihak pendakwaan dan Jasmine, menghadiri pengurusan kes hari ini.

Turut hadir peguam Najib Alaistar Brandah Norman.

Pada 3 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, beliau telah memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati dia (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan ia serasi dengan keterangan yang dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Najib, 69, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan laporan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lepas. - Bernama