Najib dapat penangguhan, bicara SRC tak mula esok

Najib - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas tujuh tuduhan berhubung dana SRC International Sdn Bhd tidak akan bermula esok.

Ini berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga menunggu keputusan rayuannya berhubung penarikan balik sijil pemindahan tujuh dakwaannya oleh pendakwa raya.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel berkata mahkamah mengambil perhatian bahawa hujah pendakwa raya bahawa tuduhan terhadap Najib adalah serius sifatnya dan dikatakan dilakukan oleh beliau dalam kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia.

Beliau berkata mahkamah juga memperakui bahawa hujah pendakwa raya bahawa kes itu telah menarik minat antarabangsa dan awam, oleh itu permulaan perbicaraan haruslah mengikut jadual.

"Kami berpuas hati bahawa pemohon (Najib) telah membuktikan keadaan khusus untuk penangguhan diberikan,” kata beliau. - Bernama