Penjual kuih di Besut positif Covid-19 jangkiti 21 individu

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memasang gelungan kawat duri untuk diletakkan pada salah satu laluan tikus di sekitar kawasan PKPD yang dikenakan di sebuah kawasan di Besut. Foto Bernama
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memasang gelungan kawat duri untuk diletakkan pada salah satu laluan tikus di sekitar kawasan PKPD yang dikenakan di sebuah kawasan di Besut. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Daerah Besut merekodkan 512 kes Covid-19 setakat ini dengan lima kes kematian sejak pandemik itu melanda negara.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, pada tahun ini, sebanyak 477 kes dengan empat kematian direkodkan di Besut.

Beliau berkata, buat masa ini terdapat lima kluster di daerah itu yang masih aktif dan menyumbang kepada peningkatan mendadak kes iaitu Kluster Gong Nering, Kluster Jalan Kubur Darau, Kluster Kampung Tandak, Kluster Pengkalan Teras dan Kluster Guntung Dalam.

"Kluster Gong Nering melibatkan 43 kes (3 kes baharu) dengan 260 orang kontak rapat, manakala Kluster Jalan Kubur Darau (30 kes dan 131 kontak rapat) dan Kluster Kg Tandak dengan 30 kes serta 249 kontak rapat.

"Terdapat dua kluster besar yang baharu didaftarkan pada Isnin iaitu Kluster Pengkalan Teras dan Kluster Guntung Dalam," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata, Kluster Pengkalan Teras melibatkan indeks yang bekerja sebagai penjual kuih di sebuah pasar dan telah menjangkiti seramai 17 ahli keluarga serta empat orang pengedar kuih yang mengambil kuih beliau untuk dipasarkan.

Katanya, setakat ini 29 kes (5 kes baharu) dan 239 kontak rapat berjaya dikesan berpunca daripada kluster tersebut.

Selain itu, katanya, Kluster Guntung Dalam pula melibatkan indeks berasal dari Setiu dan merupakan pekerja di sebuah syarikat jualan di Besut di mana punca jangkitan dipercayai daripada urusan jualan bagi tujuan pembungkusan.

Artikel Berkaitan:

"Kluster ini telah menjangkiti empat ahli keluarga dan 15 rakan sekerja yang lain serta rakan sekerja pula menjangkiti keluarga masing-masing.

"Terkini, seramai 43 (14 kes baharu) dan seramai 249 kontak rapat telah berjaya dikesan melalui kluster ini," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azimi mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan Covid-19 dalam skala besar.

"Seperti yang saya selalu sebutkan sebelum ini, kluster dalam kalangan kontak rapat keluarga dan kontak rapat tempat kerja sering berlaku.

"Kemungkinan besar punca adalah disebabkan kegagalan untuk patuh SOP sepenuhnya apabila berada bersama keluarga atau rakan sekerja," katanya.