X

Kindly register in order to view this article
!

PKR kecam tindakan PN dakwa cuba manipulasi angka Covid-19

Chang Lih Kang
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengecam tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa cuba memanipulasi angka kes Covid-19 untuk memberi gambaran kurang tepat kepada rakyat.

Naib Presidennya, Chang Lih Kang berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba sebelum ini memaklumkan gelombang ketiga kes Covid-19 menurun dan terkawal.

“Adham berpendapat bahawa penurunan jumlah kes positif merupakan kejayaan pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jumlah kes positif Covid-19 menurun bukan kerana pandemik sudah terkawal, tetapi jumlah ujian Covid-19 yang dilakukan menurun dengan drastik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, pada 3 hingga 5 Februari lalu, jumlah saringan harian dijalankan melebihi 60,000 ujian tetapi jumlah saringan tersebut dikurangkan secara drastik kepada 32,536 ujian pada 8 Februari.

“Pada hari ini, jumlah saringan dikurangkan kepada angka yang paling rendah iaitu sebanyak 23,791 individu sahaja.

“Penurunan jumlah kes positif adalah disebabkan oleh jumlah saringan yang semakin kecil dan bukannya kerana pandemik sudah terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pandemik Covid-19 dianggap terkawal jika kadar positif daripada jumlah saringan kurang daripada lima peratus.

“Dalam tiga hari lalu, kadar positif dicatakan sekitar 10 peratus, iaitu 11.94 peratus pada 13 Februari, 10.15 peratus pada 14 Februari dan 9.15 peratus pada 15 Februari.

“Angka ini menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 di negara kita jauh daripada terkawal, sebaliknya Menteri Kesihatan sanggup memberi gambaran yang memesong demi kepentingan politik sendiri,” katanya.

Lih Kang mendesak PN untuk menghentikan mainan politik dengan menipu rakyat dan kerajaan perlu memastikan Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan untuk meletakkan jawatan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!