Hamzah jamin siasatan menyeluruh isu Sugarbook, Adib

Perbincangan melibatkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (empat dari kiri). -Foto Facebook Senator Ir Khairil Nizam Khirudin
Perbincangan melibatkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (empat dari kiri). -Foto Facebook Senator Ir Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjamin siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kes Sugarbook dan kematian anggota bomba, Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kenyataan berkenaan dibuat selepas perbincangan bersama Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin yang memfokuskan mengenai dua isu berkenaan.

Khairil Nizam berkata, pertemuan turut menyuarakan kebimbangan rakyat mengenai statistik yang dikeluarkan oleh Sugarbook pada 10 Febuari tahun ini yang menunjukkan peratusan tinggi mahasiswa dan anak muda terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu.

“Saya mohon tindakan tegas dan segera untuk menyekat akses Sugarbook selepas siasatan selesai.

“Hamzah memberi jaminan siasatan segera akan dijalankan berdasarkan laporan yang dibuat sebelum mengambil tindakan sewajarnya untuk menyekat akses Sugarbook,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perlu padam, sekat aplikasi Sugarbook

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, Hamzah telah memberi penjelasan secara menyeluruh berkenaan isu kematian Muhammad Adib.

“Hamzah juga memberi jaminan akan menyelesaikan isu ini dengan segera selepas urusan birokrasi berkenaan ordinan darurat dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

“Ramai yang ingin tahu perkembangan dan kesudahannya. Keadilan untuk arwah Muhammad Adib perlu titik noktahnya,” ujarnya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara ekoran cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.