Amzad sumbang 100 tablet hasil dua bulan kumpul gaji, elaun

Amzad menyerahkan tablet kepada salah seorang pelajar di Parlimen Kuala Terengganu. (Foto: Ihsan Amzad)
Amzad menyerahkan tablet kepada salah seorang pelajar di Parlimen Kuala Terengganu. (Foto: Ihsan Amzad)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim mengambil inisiatif dengan mengumpulkan gaji dan elaunnya selama dua bulan berjumlah RM50,000 untuk membeli tablet bagi membantu pelajar sekolah yang kurang berkemampuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, usaha itu dibuat agar pelajar khususnya di Parlimen Kuala Terengganu tidak tercicir daripada mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Alhamdulillah, dengan wang terkumpul itu saya telah beli 100 unit tablet dan akan disumbangkan kepada pelajar kurang brekemampuan supaya mereka boleh mengikuti pembelajaran PdPR.

“Selain itu, saya juga telah belikan 150 unit lagi tablet, hasil usaha mengumpul dana sumbangan orang ramai yang saya anjurkan.

“Kita memahami akan kesukaran yang dihadapi pelajar dan keluarga dalam menghadapi situasi ini. Sebab itu, saya cuba membantu yang termampu kerana dalam menghadapi pandemik ini, banyak keutamaan yang perlu diberikan termasuk bantuan keperluan makanan kepada golongan yang terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.

Amzad berkata, selain pemberian tablet percuma, beliau turut menaja kelas guru pakar dalam talian selama dua bulan termasuk seminar teknik menjawab soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan peruntukan RM60,000 kepada 3,300 calon SPM di Parlimen Kuala Terengganu.

PdPR menjadi kaedah pembelajaran pada masa ini setelah sesi persekolahan 2021 yang sepatutnya dibuka pada 20 Januari lalu terpaksa ditunda lagi berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Namun, wujud beberapa isu termasuk kesukaran pelajar untuk mengikuti PdPR kerana ada segelintir daripada mereka yang tidak mampu memiliki telefon, tablet atau komputer riba.

Di samping itu, terdapat juga dalam kalangan pelajar yang terpaksa berkongsi gajet dengan adik beradik untuk mengikuti PdPR.

Artikel Berkaitan: