Pengeluaran loji menyusut akibat kemarau

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Ketiadaan bekalan air di Ambangan Heights, Bandar Amanjaya pada Rabu merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun pada musim kemarau.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Korporat, Syarikat Air Darul Aman (SADA), Anas Aidi Md Rozai berkata, ini kerana loji-loji berkenaan menggunakan sumber air bukit dan bergantung kepada air hujan.

Menurutnya, pengeluaran di kedua-dua loji berkurangan di mana sumber air mentah itu diperoleh dari Loji Headwork Gunung Jerai.

“Sekiranya tiada hujan di Gunung Jerai, air mentah juga berkurangan untuk loji memproses air bersih untuk disalurkan kepada pengguna. Keadaan ini berbeza dengan sumber air mentah yang diambil dari sungai,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Anas Aidi berkata, pengurangan pengeluaran Loji Headwork Tupah menyusut dari 18 mld (juta liter sehari) kepada 11.5 mld, manakala Loji Headwork Gurun menyusut dari 5.5 mld kepada 3.5 mld ekoran kemarau yang melanda sejak Januari.

“Penyusutan kapasiti pengeluaran normal telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air kritikal kepada pengguna khususnya yang berada di kawasan tinggi dan penghujung sistem,” katanya.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak 2,570 akaun di kawasan Merbok dan 1,250 akaun di Gurun telah terjejas bekalan sehingga kini.

“Sekiranya kemarau berterusan, dijangkakan berlaku peningkatan bilangan akaun yang terjejas. Bagaimanapun SADA telah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki kepada pengguna terjejas di kedua-dua kawasan tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, kira-kira 10,000 penduduk di Ambangan Heights dilaporkan berdepan gangguan bekalan air terutama di Zon Kenanga yang terputus sejak Selasa.

Bekalan dilaporkan pulih pada lewat petang Rabu setelah aduan dimaklumkan kepada pihak SADA.

BERITA BERKAITAN: Penduduk khuatir sering terputus bekalan