Tradisi 118 tahun terus mekar

IPOH - Setiap kali Ramadan menjelma, pekarangan Masjid India Muslim Ipoh di tengah bandar raya ini tidak pernah sunyi daripada kehadiran orang ramai yang setia menanti bubur lambuk tradisi turun-temurun sejak 118 tahun lalu.
Lebih istimewa, bubur lambuk itu bukan sekadar juadah berbuka puasa, sebaliknya sudah menjadi trademark masjid yang kekal mempertahankan resipi asal sejak 1908.
Pengerusinya, Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff berkata, tradisi memasak bubur lambuk itu diperkenalkan pengasas masjid berkenaan iaitu seorang ahli perniagaan India Muslim terkemuka diteruskan dari generasi ke generasi sehingga hari ini.
Katanya, penyediaan bubur lambuk dimulakan jam 9 pagi sebelum siap sekitar jam 12 tengah hari untuk diedarkan kepada orang ramai pada sebelah petang.
“Pengedaran pula kita buat sekitar jam 4.30 petang. Biasanya orang ramai sudah mula datang jam 4 petang dan selalunya menjelang jam 5.15 petang, bubur sudah habis diedarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Shaik Mujibur Rahman, keunikan resipi menjadi antara faktor utama juadah itu terus mendapat sambutan sehingga kini.
Ujarnya, antara bahan utama digunakan termasuklah tujuh jenis kekacang seperti kacang kuda, kacang hijau dan kacang merah bersama pelbagai jenis rempah yang memberi aroma dan rasa unik, berbeza daripada bubur lambuk biasa.
Versi istimewa pastinya dengan daging kambing, menjadikan bubur ini lebih enak dan kaya dengan lapisan rasa.
“Tradisi ini bukan sahaja dinanti-nantikan umat Islam, malah turut menarik kehadiran masyarakat bukan Islam.
“Sebab itu kita tidak menggunakan daging lembu kerana kita juga menerima pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama. India datang, Cina datang, semua datang ambil. Kita memang buka kepada semua. Itu konsep kita dari dulu,” katanya.
Beliau yang telah menjadi pengerusi sejak tiga tahun lalu dan terlibat dalam pengurusan masjid lebih 22 tahun berkata, pada peringkat awal penyediaan hanya menggunakan dua hingga tiga periuk sahaja.
Bagaimanapun, seiring dengan permintaan yang semakin bertambah setiap tahun, jumlah itu kini meningkat kepada tujuh periuk yang memuatkan keseluruhan 75 kilogram bubur lambuk setiap hari.
“Dengan jumlah ini, kita dapat edarkan kepada 700 hingga 800 orang. Kalau Ramadan 30 hari, 30 hari kita masak. Hari terakhir pun masjid akan pastikan tetap ada,” ujarnya.
Shaik Mujibur Rahman berkata, kos penyediaan bubur lambuk diperoleh melalui sumbangan dan infak orang ramai sama ada dalam bentuk wang tunai, beras atau kekacang.
“Dengan resipi yang tidak pernah diubah dan konsep pengagihan penuh muhibah, bubur lambuk Masjid India Muslim Ipoh terus kekal sebagai simbol perpaduan dan warisan Ramadan,” katanya.
Masjid yang mampu menampung kira-kira 800 jemaah bagi solat Jumaat itu turut menjadi tumpuan komuniti India Muslim sekitar Silibin, Manjoi, Jelapang dan Gunung Rapat dengan khutbah disampaikan dalam bahasa Tamil serta disertakan terjemahan dalam bentuk paparan untuk jemaah lain.
Ringkasan AI
- Masjid India Muslim Ipoh mempertahankan tradisi memasak bubur lambuk sejak 118 tahun lalu
- Bubur lambuk dijadikan trademark masjid dengan resipi asal yang tidak berubah sejak 1908
- Penyediaan bubur lambuk dimulakan jam 9 pagi dan diedarkan kepada orang ramai jam 4.30 petang
- Resipi unik dengan tujuh jenis kekacang dan daging kambing menarik minat pelbagai kaum
- Pengedaran bubur lambuk dibiayai oleh sumbangan dan infak orang ramai, simbol perpaduan dan warisan Ramadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

