Penduduk khuatir sering terputus bekalan

Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung masalah bekalan air di Ambangan Heights Sungai Petani. Gambar kecil: Johari dan Nur Rajiha
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung masalah bekalan air di Ambangan Heights Sungai Petani. Gambar kecil: Johari dan Nur Rajiha
A
A
A

SUNGAI PETANI- "Kami khuatir setiap kali bekalan air pulih kerana pada bila-bila masa sahaja boleh terputus," kata Pengerusi Persatuan Penduduk Impiana Amanjaya, Johari Zainol berhubung isu bekalan air khususnya di Ambangan Heights di sini yang terganggu sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, penduduk mahukan penjelasan berhubung masalah itu yang tidak disedari petugas Syarikat Air Darul Aman (SADA) atau tiada pemantauan sekiranya paras air berada pada tahap tidak normal.

"Adakah SADA tidak mempunyai sistem amaran awal agar boleh dimaklumkan kepada penduduk beberapa jam sebelum bekalan terputus," katanya di sini pada Khamis.

Sementara itu, Nur Rajiha Yunus, 38, berkata, sekiranya dimaklumkan lebih awal, penduduk boleh membuat persediaan terutama kepada keluarga yang mempunyai ahli yang ramai.

"Selalunya bila dah tiada bekalan, baru notis dikeluarkan dan maklumat dalam notis pula tak sama dengan situasi sebenar, kadang-kadang pula tiada notis langsung," katanya.

Menurutnya, keadaan bekalan air yang terputus sejak Selasa kembali pulih pada petang Rabu secara berperingkat.

"Setakat ini (Khamis) bekalan air sudah ada tetapi bimbang juga sekiranya tiba-tiba pula terputus tanpa sebarang notis makluman," katanya.

Pada Rabu, kira-kira 10,000 penduduk di Ambangan Heights dilaporkan berdepan gangguan bekalan air terutama di Zon Kenanga yang terputus sejak Selasa.

Artikel Berkaitan:

Bekalan dilaporkan pulih pada lewat petang Rabu setelah aduan dimaklumkan kepada pihak SADA.

Sinar Harian bagaimanapun sedang berusaha mendapatkan kenyataan daripada pihak SADA dalam masa terdekat.