Tipu pelaburan bitcoin: 11 termasuk dua wanita Indonesia ditahan

Bitcoin - Foto Sumber Internet
Bitcoin - Foto Sumber Internet
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 11 individu termasuk dua warga asing dipercayai terbabit dalam penipuan pelaburan bitcoin tidak wujud dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini, pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Indonesia, berusia lingkungan 19 hingga 28 tahun itu, ditahan antara jam 5 petang hingga 7 malam.

Beliau berkata, kesemua suspek tersebut dipercayai menerima gaji kira-kira RM3,000 sebulan berserta komisen sebanyak lapan peratus daripada hasil penipuan pelaburan itu.

Katanya, modus operandi sindiket yang bergiat aktif sejak tiga bulan lalu itu dijalankan dengan mencari mangsa melalui media sosial, berkawan dan bersembang sehingga mendapat kepercayaan mangsa.

"Suspek seterusnya mendorong mangsa melabur selain dijanjikan komisen sebanyak 50 peratus jika berjaya mendorong kenalan lain untuk turut melabur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Salleh berkata, dalam serbuan tersebut juga lima buah komputer riba, 54 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah modem Unifi yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan penipuan pelaburan itu, turut dirampas.

Menurutnya, kesemua suspek warga tempatan kini ditahan reman selama dua hari sehingga Khamis manakala warga Indonesia direman selama 14 hari sehingga 22 Februari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1963.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terperdaya dengan kadar pulangan tidak masuk akal yang dijanjikan oleh sindiket pelaburan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah penipuan boleh menghubungi Pegawai Risikan Operasi JSJK Johor, Asisten Superintendan Timmy Aheng di talian 019-7773728 atau Hotline IPK Johor di 07- 2254422,” katanya. - Bernama