Akaun bank rahsia UMNO pengkhianatan kepada parti

Muhammad Faiz Na'aman
Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan bahawa UMNO mempunyai akaun bank rahsia, tidak disahkan dan tidak rasmi yang aktif sejak 1988 disifatkan sebagai pengkhianatan yang jelas terhadap perlembagaan parti dan ahlinya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, akaun bank yang tidak diisytiharkan (dan sumbangan politik yang tidak diaudit) jika terbukti berkaitan langsung dengan parti dan kepemimpinan mereka, ia juga merupakan pelanggaran serius di bawah peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"Malah, transaksi sumbangan politik yang disebut dari sumber yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah menjadikan pemilik akaun bank telah menyalahi undang-undang sehingga mencemarkan reputasi UMNO secara tidak langsung.

"Kenyataan bahawa akaun itu wujud sejak tahun 1988 juga akan menyulitkan bekas Presiden UMNO yang tanpa keraguan mesti mengetahui kewujudannya atau mendapat manfaat daripadanya," katanya dalam satu kenyataan.

Media pada Rabu melaporkan UMNO mempunyai akaun rahsia yang tidak diaudit bagi menerima sumbangan politik.

Perkara itu didedahkan ketika pihak pendakwaan menyanggah dakwaan bahawa wang tunai RM114.16 juta yang dituntut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO dalam saman pelucutan hak berkaitan 1MDB terhadap Obyu Holdings adalah milik parti itu.

Dalam hujah bertulis Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, pihak pendakwa mendakwa ia kerana sebilangan pemimpin UMNO sendiri menafikan mereka tahu mengenai dana tersebut.

Justeru, Dr Muhammad Faiz menegaskan, ahli akar umbi UMNO yang rasional harus menyedari bahawa nasib UMNO dan penerimaan orang Melayu kepada parti mereka sebahagian besarnya berada di tangan pemimpin mereka yang 'terpilih'.

Artikel Berkaitan:

"Dan mereka harus menanggung akibat memilih pemimpin yang palsu dan rosak," katanya.