X

Kindly register in order to view this article
!

Tentera Myanmar serbu pejabat parti Suu Kyi

Pihak berkuasa menggunakan meriam air terhadap penunjuk perasaan di Naypyidaw. - Foto AFP
A
A

YANGON - Tentera Myanmar menyerbu ibu pejabat Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi pada Selasa, ketika Amerika Syarikat menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk keganasan terhadap para penunjuk perasaan yang menuntut agar demokrasi dikembalikan di negara itu.

Lapor AFP, penggulingan serta penahanan Aung San Suu Kyi oleh tentera pada minggu lalu menyebabkan ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Myanmar bagi membantah rampasan kuasa tersebut.

"Diktator tentera menyerbu dan memusnahkan ibu pejabat NLD kira-kira jam 9.30 malam," menurut kenyataan ringkas NLD menerusi laman Facebook parti itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Serbuan dilaporkan berlaku selepas tunjuk perasaan memasuki hari keempat berturut-turut pada Selasa yang menyaksikan pihak berkuasa menggunakan meriam air di beberapa bandar, selain melepaskan tembakan menggunakan peluru getah terhadap para penunjuk perasaan di Naypyidaw dan gas pemedih mata di Mandalay.

Myanmar terus bergolak dengan bantahan besar-besaran diadakan walaupun junta tentera memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap para penunjuk perasaan yang dituduh menggugat 'kestabilan negara' dan mengenakan sekatan baharu untuk melarang perhimpunan melebihi lima orang.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pihaknya 'amat bimbang' terhadap keganasan yang berlaku.

"Penggunaan kekerasan tidak wajar terhadap para penunjuk perasaan, tidak boleh diterima sama sekali," kata penyelaras kemanusiaan PBB di Myanmar, Ola Almgren.

Di Naypyidaw, sejumlah saksi mendakwa polis melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan setelah menggunakan meriam air untuk meleraikan keadaan.

"Mereka melepaskan tembakan amaran ke udara sebanyak dua kali, kemudian menembak (penunjuk perasaan) dengan peluru getah," kata seorang penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: Reben merah jadi simbol protes kudeta di Myanmar

New Zealand gantung hubungan dengan Myanmar


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!