X

Kindly register in order to view this article
!

New Zealand gantung hubungan dengan Myanmar

Perdana Menteri Jacinda Ardern - Foto: Reuters
A
A

WELLINGTON - New Zealand menggantung semua hubungan peringkat tinggi dengan Myanmar dan mengenakan larangan perjalanan ke atas para pemimpin tentera negara itu susulan rampasan kuasa tentera yang berlaku minggu lalu, umum Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Selasa.

Menerusi laporan Reuters, New Zealand juga akan memastikan program bantuannya tidak akan merangkumi projek-projek yang dilakukan bersama atau memanfaatkan pemerintah tentera Myanmar, dedah beliau pada sidang akhbar.

"Mesej kami jelas dan tegas bahawa kami akan melakukan apa yang termampu dari sini di New Zealand dan salah satu perkara yang akan kami lakukan adalah menggantung dialog peringkat tinggi itu... dan memastikan sebarang dana yang kami salurkan ke Myanmar sama sekali tidak akan menyokong rejim tentera," tegasnya.

Program bantuan New Zealand bernilai kira-kira NZUS$42 juta (RM162.3 juta) antara 2018 hingga 2021.

New Zealand tidak akan mengiktiraf pemerintah yang dipimpin tentera dan menyeru tentera Myanmar supaya segera membebaskan semua pemimpin politik yang ditahan dan mengembalikan pemerintah asal di negara itu, kata Menteri Luar Nanaia Mahuta dalam satu kenyataan berasingan.

Beliau berkata, pemerintah New Zealand juga bersetuju untuk mengenakan larangan perjalanan, yang akan dilaksanakan pada minggu depan, ke atas para pemimpin tentera Myanmar.

Dalam pada itu, pemimpin tentera Myanmar berikrar akan mengadakan pilihan raya baharu dan menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada pemenang pilihan raya tersebut, sebagai usaha untuk menenangkan keadaan selepas pemerintah pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!