Segera asingkan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya: Azalina

Datuk Seri Azalina Othman Said - Foto Bernama
Datuk Seri Azalina Othman Said - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kontroversi buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membuktikan keperluan kerajaan menyegerakan pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara (AG).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah sedemikian penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

"Pendedahan Tommy di dalam bukunya menyebabkan AG dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) terpaksa mempertahankan kakitangan Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Bagaimanapun, persepsi umum terhadap Jabatan AG secara realitinya adalah sebaliknya.

“Tiada autobiografi mahupun kenyataan yang mampu mengubah persepsi terhadap AGC melakukan perubahan struktural serta reformasi diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di blog rasminya pada Rabu.

Di dalam buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness’, Tommy mempersoalkan tahap daya saing dan kebolehpercayaan pegawai undang-undang di AGC.

Azalina berkata, fungsi AG yang berperanan memberikan nasihat perundangan kepada kerajaan selain menjadi ketua pendakwa raya telah mencetuskan situasi yang menjurus kepada berlakunya konflik berkepentingan.

"Dalam konteks berlakunya kemungkinan berat sebelah, bagaimana individu dilantik atas nasihat Perdana Menteri dapat menasihati kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa bagi melakukan pendakwaan?

Artikel Berkaitan:

“Di manakah semak dan imbang?” katanya.

Justeru, Azalina menegaskan keperluan Parlimen diiktiraf sebagai institusi berperanan memelihara prinsip ketelusan dalam isu pelantikan dan penyingkiran peguam negara.

“Jawatan AG adalah terwujud daripada Perlembagaan Persekutuan, maka AG bukan wakil badan eksekutif atau badan kehakiman.

"Sebaliknya, jawatan AG harus menjadi jabatan yang bebas dan berdiri sendiri,” katanya.