Dua beradik berhenti sekolah akibat desakan hidup

Mohd Fadel menyampaikan bantuan kepada keluarga Shahrul di Kampung Sahari, Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.
Mohd Fadel menyampaikan bantuan kepada keluarga Shahrul di Kampung Sahari, Simpang Renggam, Kluang pada Rabu.
A
A
A

KLUANG - Akibat desakan hidup dan tidak mampu, dua beradik terpaksa berhenti sekolah semasa berada di Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.

Menurut bapa mereka, Shahrul Kassan, 41, anak sulungnya, Mohd Shah Adnan, 18, berhenti sekolah pada tahun lalu dan sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Katanya, anak keduanya pula, Mohd Shah Azroi, 17, tidak bersekolah sejak tahun 2015, manakala lima adik-beradik lain masih bersekolah.

"Anak-anak saya yang lain berada Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat, dua lagi Darjah Empat dan Darjah Lima, manakala seorang lagi belajar di Tabika Kemas.

"Saya tidak mampu menyekolahkan mereka semuanya. Lima daripada sembilan anak kami sedang bersekolah. Sebelum ini saya bekerja di sebuah kilang di pekan Simpang Renggam, tapi akibat kesihatan saya diberhentikan kerja," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Kebajikan Golongan B40 Negeri Johor, Datuk Mohd Fadel Alwi di rumahnya di Kampung Sahari, Simpang Renggam di sini pada Rabu.

Menurut Shahrul, dia kini hanya bergantung dengan kerja-kerja kampung yang ditawarkan penduduk dengan dibantu Adnan dan Azroi.

"Jika ada permintaan bekerja, adalah pendapatan kami. Isteri tidak bekerja kerana perlu menguruskan anak-anak apatah lagi mempunyai dua anak yang masih kecil berusia empat dan satu tahun," katanya.

Menerusi pendapatan yang tidak menentu itu, katanya, digunakan untuk menyara keluarga termasuk membayar sewa rumah serta bil utiliti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Fadel menyampaikan bantuan bekalan makanan serta lampin pakai buang kepada keluarga Shahrul bagi meringankan beban.

Beliau berkata, disebabkan tiada bekalan air kerana dipotong, keluarga Shahrul terpaksa mengambil bekalan air serta menumpang tandas keluarga tirinya yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka.

"Kita akan teliti lagi keperluan untuk membantu keluarga ini agar boleh menjalani kehidupan harian lebih sempurna pada masa akan datang.

"Diharapkan juga pemimpin setempat atau agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu keluarga ini," katanya.